suria

Cabaran Zarul Husin 'Beristeri Dua'

Zarul bersedia menerima kecaman netizen kerana watak poligami

MENINGGALKAN kerjaya sebagai pramugara dan memilih untuk menjadi artis sepenuh masa telah membuka ruang baru kepada Zarul Husin untuk bergelar pelakon, tidak menjadi penyanyi semata-mata.

Malah dia melalui episod baharu apabila mendapat peluang untuk menjadi suami beristeri dua, satu karekter yang memberi cabaran buatnya dalam bidang baharu itu.

Karakter itu dibawa Zarul menerusi drama 70 episod berjudul Syurga Kedua yang bakal menemui penonton di Astro Prima hujung tahun ini.

Zarul akui sukar membawa watak suami yang mempunyai dua isteri kerana tiada pengalaman itu.

Zarul berkata, dia teruja membawa watak suami yang mempunyai dua isteri kerana watak diberikan benar-benar mencabar dan tidak pernah dilakukan sebelum ini.

"Kalau ikut pada skrip memang agak sengsara memiliki ramai isteri tapi watak saya membawa nilai yang baik kerana berkahwin atas alasan yang munasabah.

"Agak mencabar mempunyai dua orang isteri kerana saya tiada pengalaman itu," katanya kepada mStar Online.

Malah, penyanyi lagu Jangan Pernah ini bersedia menerima kecaman netizen yang mungkin kurang senang dengan karakter lakonannya itu.

Dia yakin penonton turut akan beremosi melihat kehidupan wanita berpoligami.

Zarul tidak menolak apa sahaja tawaran yang diberikan.

"Saya pasti akan ada yang kecam nanti, tambahan pula hal poligami ini satu isu yang sangat sensitif.

"Apa-apa pun kena tonton dahulu dan ambil nilai-nilai positif yang ada dalam drama tersebut sebelum membuat andaian awal," katanya.

Drama arahan Zamri Zakaria ini turut dibintangi oleh Siti Elizad, Fasha Sandha dan Azizah Mahzan.

Memasuki usia 44 tahun, Zarul tidak menolak sebarang peluang lakonan atau nyanyian yang ditawarkan kepadanya.

"Usia kita ini semakin tua, jadi ambil sajalah apa yang ada, orang kata rezeki jangan ditolak.

"Sekurang-kurangnya bila saya tinggalkan dunia seni ini nanti, saya dah capai beberapa impian dan matlamat dalam hidup," ujarnya.

Zarul Umbrella

Artikel Sebelum

Dedikasi Ella Buat Suami

Artikel Berikut

Artikel Lain