suria

Menangis Dengar Nassier Wahab Laung Azan

Nassier Wahab tidak dapat melupakan pengalaman diberi peluang melaungkan azan semasa ibadah Haji, baru-baru ini. Foto Instagram: @nassierwahab

PENYANYI Datuk Nassier Wahab terharu apabila ada jemaah haji Malaysia yang menitiskan air mata ketika mendengarnya melaungkan azan.

Menurut Nassier, 55, kejadian itu merupakan salah satu pengalaman yang tidak boleh dilupakan ketika dia mengerjakan ibadah haji, baru-baru ini.

"Mungkin selama ini mereka dengar suara saya menyanyi tapi pada hari kejadian mereka berpeluang mendengar saya melaungkan azan menyeru kebesaran Allah.

"Hati saya tersentuh apabila melihat ada jemaah yang menangis terharu dan sebak kerana mendengar saya melaungkan azan," katanya kepada mStar Online.

Nassier bertolak ke tanah suci mengerjakan ibadah haji pada 26 Ogos dan pulang ke Malaysia pada 30 September lalu.

Nassier bersama sebahagian jemaah haji daripada Malaysia.

Sementara itu, Nassier berkata, peristiwa itu berlaku ketika dia menjadi bilal semasa khutbah Arafah ketika mengerjakan ibadah wukuf di Padang Arafah.

"Bayangkan saya tak pernah laungkan azan di hadapan orang ramai dan itu kali pertama diberi tanggungjawab melakukannya.

"Apabila mutawif tawarkan peluang ini, saya tak boleh menolak sebab mereka bersungguh-sungguh mahu saya yang azan.

"Saya yakinkan diri dan anggap itu rezeki yang tak semua orang dapat," katanya.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Memori Cinta Luka ini bersyukur kerana mampu menyelesaikan ibadah haji tanpa sebarang masalah kesihatan.

Katanya, cuaca panas dan jemaah yang ramai dari pelbagai negara tidak menganggu perjalanan ibadahnya.

Penyanyi Fauziah Latif turut sama mengerjakan ibadah haji pada tahun ini.

"Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan. Tiada sebarang kesulitan, lancar mengikut jadual dan sangat berpuas hati dengan kemudahan serta layanan yang diberi.

"Walaupun cuaca ketika itu hampir 50 darjah celsius tapi kesihatan saya baik dan ini pun salah satu rahmat daripada Allah.

"Bila balik Malaysia, baru mula sakit tekak dan rasa seperti mahu demam, mungkin rindu Kota Makkah agaknya" ujarnya.

Bercakap mengenai karier seni, dia kembali aktif menjayakan persembahan pentas selepas pulang mengerjakan haji.

Malah, Nassier memaklumkan dia masih menerima tawaran nyanyian dan tidak terpalit dengan kontroversi membabitkan pelakon Datuk Boy Iman.

Nassier merupakan duta kepada syarikat DBI Technology yang merupakan milik Boy Iman.

Nassier Wahab

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain