suria

Sara Juara Clever Girl Malaysia Musim Kedua

Sara Amelia meraikan kemenangannya selepas diumumkan sebagai juara CGM musim ke-2 pada Jumaat malam. foto Instagram @tv3malaysia

SHAH ALAM: Peserta dari Perak, Sara Amelia Muhammad Bernard muncul juara program uji minda, Clever Girl Malaysia (CGM) musim kedua terbitan TV3, malam Jumaat.

Sara, 25 yang mengenepikan tiga lagi pencabarnya iaitu Fadila (Negeri Sembilan), Shazana (Selangor) dan Hani (Perlis) membolot wang tunai RM100,000 beserta trofi.

Manakala, Fadila atau nama sebenarnya Fadila Zuraida Mohd Nor, 25, yang diumumkan sebagai naib juara menerima wang tunai RM10,000.

Hadiah disampaikan oleh juara CGM musim pertama iaitu Fatin Nuraisya Mohd Hanipha.

Program tersebut dihoskan oleh Alif Satar.

Empat peserta akhir melalui dua pusingan iaitu cabaran kuiz dan soalan pilihan penonton.

Program CGM mencetuskan kontroversi pada minggu lalu apabila salah seorang peserta final iaitu Shazana menjawab soalan yang diajukan Datin Sharifah Shawati sebelum keempat-empat jawapan selesai dibaca.

Menerusi video yang tular di media sosial, netizen mula mempersoalkan ketelusan program bagi mencari gadis terpintar di Malaysia ini.

Terdahulu, salah seorang peserta iaitu Kiera menarik diri dan mendakwa program tersebut bersikap pilih kasih serta memberi jawapan awal kepada peserta pilihan.

Program yang disiarkan sejak 4 Ogos lalu selama 10 minggu itu diwakili 14 peserta yang kesemuanya mewakili setiap negeri di Malaysia.

Setiap minggu menyaksikan episod penyingkiran bagi peserta yang mendapat markah terendah.

Rancangan itu juga tidak menggunakan sistem undian baik khidmat pesanan ringkas (SMS) mahupun juri profesional.

Sebaliknya, setiap peserta CGM dinilai berdasarkan prestasi dan kebolehan mereka untuk menjawab soalan kuiz berdasarkan kepintaran dan pengetahuan semasa pada hari pertandingan setiap minggu.

Clever Girl

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain