suria

“Saya Kurang Popular” – Nita Hamzah

Nita akur dirinya tidak sepopular artis lain. Foto RICKY LAI

PENYANYI Nita Hamzah memberitahu dia enggan berputus asa dalam industri seni walaupun namanya tidak popular seperti artis lain. 

Nita, 37, mengakui dia jarang mendapat liputan media tetapi itu tidak menghalangnya untuk terus berkecimpung dalam bidang nyanyian. 

"Saya memang jarang keluar di televisyen, sebab itu saya kurang popular. 

"Kalau nak berputus asa, dari tujuh tahun lepas lagi saya dah berhenti. Tapi saya tetap teruskan karier sampai hari ini," katanya kepada mStar Online. 

Nita ditemui pada sidang media program Versus 1001 Rasa Babas di Empire Ballroom, Subang Jaya, pada Khamis lalu.

Program masakan yang dihoskan oleh Chef Dr. Kamarul dan Chef Adu itu akan ditayangkan menerusi TV3 bermula 30 Oktober depan. 

Nita yang mula dikenali menerusi program nyanyian Malaysian Idol berkata, ibunya merupakan motivasi utama untuk dia meneruskan kerjaya. 

Dia juga menyifatkan ibunya sebagai tulang belakang yang sentiasa menyokong kerjaya dia sejak berusia sembilan tahun lagi. 

Dalam pada itu, Nita akan melancarkan sebuah single baharu berjudul Hadirlah Cinta sebelum penghujung tahun ini. 

Menurut Nita, dia seboleh-bolehnya mahu melancarkan single itu sebelum mendirikan rumah tangga dengan Mohd Fareez Shamsul Bahari yang dijadualkan awal tahun depan. 

"Kami merancang untuk kahwin dalam bulan Februari atau Mac, tarikh dan lokasi belum pasti lagi," katanya.

Nita Hamzah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain