PETALING JAYA: Pelakon Izara Aishah bersyukur apabila penyanyi Datuk Siti Nurhaliza akhirnya mengumumkan berita gembira tentang kehamilannya pada Jumaat lalu. Pelakon yang bakal berkahwin dengan anak tiri penyanyi itu, Adib Khalid berkata, pengumuman tersebut sekali gus memudahkan dia untuk tidak lagi panik apabila disoal tentang hal tersebut. Ketahuilah... Sukarnya Untuk Siti Hamil "Sekarang semua sudah tahu, Alhamdulillah. Saya sudah tidak perlu buat muka panik tidak tau macam mana hendak jawab bila orang tanya saya," tulisnya di Instagram. Datuk K dan Siti gembira bakal dikurniakan cahaya mata. Pasangan itu bakal disatukan sebagai suami isteri pada 17 November depan. Majlis akad nikah Adib dan Izara akan dilangsungkan dalam satu majlis tertutup khusus untuk ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat. Pada Jumaat lalu, Siti Nurhaliza, 38, berkongsi berita gembira dia kini sedang hamil empat bulan selepas 11 tahun mendirikan rumah tangga dengan Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa. Siti menyampaikan perkhabaran gembira itu dalam satu sidang media khas yang diadakan di kediamannya di Bukit Antarabangsa, Ampang Selangor. Kehamilan itu selepas Siti berjaya melakukan rawatan kesuburan di sebuah pusat perubatan swasta. Berita itu menyebabkan seluruh peminatnya dan juga rakan artis menitipkan ucapan tahniah kepadanya. Rata-rata selebriti mendoakan agar Siti dapat menjalani proses tersebut dengan selemat dan dikurniakan bayi yang comel.