PENYANYI Mohd yang lahir dari program realiti Mentor berhasrat memenuhi impian isterinya untuk berbulan madu ke Korea Selatan tidak lama lagi. Mohd atau nama sebenarnya Mohd Izwan Mohd Nor, 29, berkata isterinya merupakan seorang peminat K-pop dan sememangnya mengimpikan untuk melawat negara itu. "Sebenarnya pasal bulan madu ni tak fikir apa lagi, tapi InsyaAllah akan ke Korea Selatan. "Isteri saya memang suka benda-benda berkaitan Korea. Jadi saya nak bawa dia berbulan madu di sana," ujarnya kepada mStar Online. Mohd (Mentor) Tak Sabar Nak Ada Anak Sah sebagai suami-isteri. Mohd dengan sekali lafaz selamat menjadi suami kepada Nurul Asyiqin Zaidi, 23, pada Sabtu lalu. Nurul Asyiqin bekerja sebagai pentadbir eksekutif sebuah syarikat swasta. Pada akad nikah itu, Mohd menyerahkan mas kahwin RM3,000 manakala RM20,000 sebagai wang hantaran. Majlis akad nikah dan resepsi diadakan pada hari yang sama di Dewan Recsam, Jalan Sultan Azlan Shah, Gelugor, Pulau Pinang. Menurut Mohd, dia gembira kerana percintaan selama empat tahun akhirnya berakhir dengan ikatan yang sah. "Saya rasa bahagia. Dulu saya seorang diri, sekarang sudah hidup berdua. "Selepas ini harapnya semakin bertambah ahli keluarga sebab saya mahu anak ramai," ujarnya. Dalam pada itu, majlis bertandang sebelah keluarga Mohd akan diadakan di Johor pada Disember depan. Katanya, faktor kekangan masa menyebabkan dia terpaksa membuat majlis bertandang pada hujung tahun ini.