PENYANYI Shiha Zikir mengambil keputusan untuk bergerak sendiri bawah syarikatnya iaitu SZ Entertainment yang diusahakan sejak Oktober tahun lalu. Shiha atau nama sebenarnya Nurshiha Mohd Zikir, 29, berkata lebih mudah untuk dia bergerak bebas dalam perjalanan karier nyanyiannya tanpa terikat dengan mana-mana syarikat label. “Jika sebelum ini lagu-lagu saya dibawah syarikat label Wake The Baby Record Sdn Bhd. Namun kontrak sudah tamat pada bulan Mac lalu. “Sejak itu saya ambil keputusan untuk menguruskan sendiri perjalanan karier bawah syarikat saya iaitu SZ Entertainment. “Lebih senang saya bebas untuk memilih apa yang saya mahu dalam karier nyanyian,” kata Shiha kepada mStar Online. Shiha ditemui ketika majlis pelancaran single terbaharunya, Jagakan Dia dan pelantikannya sebagai duta produk kosmetik Airish London di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur pada Isnin. Shiha menjadi jurucakap Airish London. Shiha ditemui ketika majlis pelancaran single terbaharunya, Jagakan Dia dan pelantikannya sebagai duta produk kosmetik Airish London di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur pada Isnin. Selain itu, antara salah satu sebab Shiha mengambil keputusan tersebut kerana dia sangat cerewet apabila berkaitan dengan pemilihan lagu. “Saya memang seorang yang sangat cerewet bila bab nak pilih lagu baru. Sebab itu, bila dah bergerak sendiri ini, boleh tentukan apa yang saya mahukan. “Lagu Jagakan Dia hasil ciptaan penuh Ippo Hafiz dan kali pertama Ippo bagi saya dengar lagu ini terus hati terpikat. “Segala idea konsep untuk susunan muzik dan jalan cerita untuk muzik video pun datang dari saya sendiri,” ujarnya. Muzik video lagu tersebut yang menampilkan Saharul Ridzwan sebagai pelakon utama yang sudah dilancarkan pada Isnin lalu. Shiha tampil dengan single terbaharu. Bercerita mengenai kehidupan peribadi pula, Shiha ada perancangan untuk berkahwin pada penghujung tahun ini namun dia hanya berserah pada jodoh. Hubungan Shiha dan kekasihnya yang dikenali sebagai Arul terjalin sejak tujuh tahun lalu. “Siapa yang tak nak kahwin. Kalau ikutkan ada juga perancangan ke arah itu pada penghujung tahun ini. “Tapi apa-apa pun saya serah pada jodoh. Alhamdulillah, kekasih saya seorang yang memahami dan dia menyokong karier saya. “Insya-Allah bila tiba masanya, saya akan umum. Buat masa ini, saya harap semua doa yang baik-baik untuk kerjaya dan kehidupan saya,” katanya.