AKHIRNYA impian penyanyi Khai Bahar untuk membawa ibu dan bapanya menunaikan umrah bakal tercapai tidak lama lagi. Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin, 23, berkata dia menyimpan impian tersebut sejak mula menceburi bidang seni. Menurut Khai lagi, perancangan sepatutnya pada tahun hadapan namun dia diberi rezeki awal selepas menerima tawaran daripada badan kemanusian Syria Care Malaysia pada bulan Mei lalu. “Alhamdulillah, impian untuk membawa ibu dan ayah menunaikan umrah akan tercapai tidak lama lagi. “Patutnya saya rancang tahun hadapan tapi Syria Care menawarkan saya pada bulan Mei lalu untuk pergi bersama mereka pada penhujung bulan ini. “Alang-alang tu, rezeki dapat awal bawa sekali ibu bapa saya. Sebab kita tak tahu macam mana keadaan kesihatan mereka tahun hadapan,” kata Khai kepada mStar Online. Khai bersedia untuk ke Syria bagi memberi bantuan dan melihat keadaan di sana. Khai Bahar ditemui ketika majlis minum petang Umrah dan Ziarah Istanbul Syria Care di SC Shoppe, Shah Alam pada Rabu. Khai dan keluarga akan berangkat menunaikan umrah pada 31 Oktober ini. Sebelum itu, mereka akan melawat kem pelarian di Istanbul selama beberapa hari sebelum ke Madinah pada 4 November. Sementara itu, Khai juga memberitahu dia sudah bersedia ke negara Syria untuk memberi bantuan dan melihat sendiri keadaan di sana. Kesedaran Khai mengenai negara Islam tersebut semenjak bekerjasama dengan Syria Care Malaysia. “Saya teringin sangat nak beri bantuan dan melihat sendiri keadaan di Syria. Sebelum ini saya hanya mendengar dan membaca mengenai negara itu. “Tapi sejak bekerjasama dengan Syria Care, hati saya lagi membuak-buak untuk pergi ke sana. Namun apakan daya, kita tidak dibenarkan untuk ke sana demi keselamatan,” ujarnya. Khai berterima kasih kepada peminat yang sentiasa menyokong kariernya. Dalam perkembangan karier nyanyian pula, Khai meluahkan rasa syukur apabila menerima dua anugerah iaitu Artis Paling Popular dan Lagu Paling Popular dalam Anugerah Planet Muzik yang berlangsung di Singapura baru-baru ini. Malah, dia juga berterima kasih kepada peminat yang sentiasa menyokong kariernya sejak dia mula menjejak kaki dalam industri seni. “Alhamdullilah, saya bersyukur sangat dapat dua anugerah APM2017 baru-baru ini. Memang tidak disangka kerana ramai lagi yang lebih dikenali. “Apa-apa pun, saya sangat berterima kasih kepada peminat yang tidak pernah berhenti menyokong saya sejak mula lagi. “Tanpa mereka, siapalah saya dalam industri seni ini,” katanya. Khai kini sedang sibuk mempromosikan lagu terbarunya yang berjudul Luluh.