PETALING JAYA: Program dokumentari Detik 12 Malam terbitan TV3 kembali menemui penonton sebagai kesinambungan dua musim terdahulu yang merungkai kisah pekerjaan dan aktiviti yang dilakukan pada pukul 12 tengah malam. Pengacaranya, Saiful Azmi Jamsari berkata, objektif program ini bukanlah untuk memburu hantu semata-mata sebaliknya mahu memberi pendedahan mengenai cabaran pekerjaan pada waktu malam dari sudut mistik dan misteri. "Menerusi setiap episod, kita akan memaparkan pendedahan dan pengalamn orang yang bekerja dan melakukan aktiviti pada pukul 12 malam. "Selain itu, saya juga melakukan siasatan dalam setiap episod bagi merasai sendiri apa yang berlaku. Jadi, penonton boleh menilai apa yang mereka saksikan," ujarnya ketika dihubungi mStar Online. Antara paparan dalam 'Detik 12 Malam'. Bersiaran selama 30 minit, program itu mula menemui penonton 10 Oktober lalu pada setiap Selasa, pukul 11 malam. Menurut Azmi, musim ketiga Detik 12 Malam mempunyai lapan episod dan setiap satunya mempunyai keistimewaan tersendiri. Antara episod bagi musim ini ialah Kuda Kepang, Pencari Madu Tualang, Pemikat Burung Wak-Wak, Penjaga Stadium dan Kaki Pancing. Tambahnya lagi, dia dan krew penerbitan turut berhadapan detik seram sepanjang menjalankan penggambaran kerana sering terkena gangguan mistik. "Sewaktu penggambaran episod Pencari Madu Tualang di Jerantut, Pahang, saya mendengar suara lolongan memanggil nama saya. "Sebenarnya banyak lagi peristiwa mistik yang berlaku. Untuk mengetahui selanjutnya, memang kena saksikan semua episod musim terbaharu ini," katanya.