PENYANYI Kaka Azraff pernah melalui fasa kurang keyakinan diri apabila dikritik tidak boleh menyanyi dan berlakon ketika awal kemunculannya dalam industri. Bagaimanapun, Kaka berkata, dia sudah membuang perasaan tersebut dan enggan terlalu banyak berfikir negatif sehingga membataskan perjalanan kerjayanya. "Lagu baru saya berjudul Kembali ini memang ada kaitan dengan hidup saya, ia melambangkan semangat baru saya untuk meneruskan kehidupan. "Dulu saya akui terlalu banyak berfikir sehingga nak buat sesuatu pun susah. Kadang-kadang rasa hilang semangat apabila orang mempersoalkan boleh ke saya menyanyi atau berlakon," ujarnya kepada mStar Online. Kaka ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya berjudul Kembali di The Gasket, di sini, Jumaat. Kaka masih solo. Pada majlis tersebut, penyanyi yang popular dengan lagu Bukan Hal Aku ini juga turut melancarkan muzik video Kembali arahan Keroll. Sementara itu, Kaka berkata, lagu ciptaan The Good Fellas ini menunjukkan semangat baharu dalam sebuah kehidupan bukan sahaja dirinya, malah kepada pendengar lain. Katanya, ia boleh memberi inspirasi kepada seseorang yang pernah melalui perasaan yang sama. "Lirik sangat memberi inspirasi dan boleh saya sifatkan lebih matang berbanding lagu-lagu sebelum ini," ujarnya. Dalam pada itu, diusik dengan hal peribadi, penyanyi yang pernah digosipkan dengan gitaris Kristal iaitu Rody ini berkata, dia masih solo. Bagaimanapun, Kaka berkata, dia tidak terbuka untuk bercinta dengan mana-mana lelaki. "I am single but not available, saya sedang bercinta dengan kerjaya," ujarnya ringkas.