KAKAK kepada penyanyi Aiman Tino, Fara Hezel menafikan lagu terbaru duet mereka iaituTerasa Cinta, merupakan satu penghinaan kepada industri muzik. Fara atau nama sebenarnya Nurfaraazira Yusri, 21, berkata lagu ciptaan ibu dan bapanya itu merupakan cubaan untuk mereka membuat kelainan. "Assalammulaikum, pertama sekali saya nak mohon maaf kepada pihak yang mengecam @official_aimantino (Aiman Tino) disebabkan membawa genre hip hop yang dianggap sebagai penghinaan kepada industri. "Lagu Terasa Cinta yang ditulis sepenuhnya oleh ibu bapa kami bukanlah untuk menghina genre ini malah kami cuba untuk membuat kelainan untuk warna industri muzik sekarang. "Kami cuba selitkan rap dalam lagu tersebut tapi tak sangka menjadi isu sedemikian," kata Fara. Status yang dimuatnaik Fara mendapat perhatian netizen. Foto Instagram: @official_farahezel. Fara memuatnaik status tersebut menerusi laman sosialnya selepas nyanyian rap Aiman dikecam komposer dan anggota VE, Damian Mikhail. Melalui status Damian di laman sosial Facebook Ahad lalu, dia menyifatkan nyanyian Aiman dan Fara menerusi lagu baru mereka satu pencemaran dan penghinaan bagi industri muzik hip hop. Kata penyanyi popular rap awal 2000 itu, kalau Aiman menyanyi di depannya, dia akan ‘boo’. Fara Hezel. Bagaimanapun, menerusi sebuah portal hiburan, Damian menafikan statusnya itu ditujukan pada Aiman. Menurut Fara lagi, dia memohon pihak yang menganggap lagu tersebut satu pencemaran dalam genre muzik itu memberi tunjuk ajar kepada Aiman daripada mengecam. "Kepada pihak yang menganggap ianya satu pencemaran untuk muzik hip hop mohon beri tunjuk ajar kepada Aiman Tino. Jangan kecam, tak baik. "Kami masih baru perlu tunjuk ajar daripada otai-otai industri muzik. Baru saja nak cipta nama jangan terus menghukum. "Tegur secara baik Insya-Allah akan dapat diterima dgn ikhlas," ujarnya. Penyanyi lagu Setiaku Pasti ini juga berterima kasih kepada peminat yang banyak menyokong dia dan Aiman dari dulu hingga sekarang.