BAHARU sebulan dilaporkan sedang berkawan rapat dengan Aedy Ashraf, penyanyi lagu Pematah Hati Nabila Razali memuat naik video sedih di laman sosial Instagramnya malam Jumaat. Menerusi video berdurasi satu minit itu, Nabila meluahkan rasa kecewa apabila dipermainkan oleh seorang lelaki yang dipercayai ditujukan kepada pelakon berkenaan. "Lelaki ni memang tak pernah cukup kan?, tak kisahlah kita berkorban banyak mana, dia tetap cari lain. Harap korang tak tanya lagi pasal ni. Korang mesti pernah kena macam ni juga kan?," ujarnya. Nabila padam foto mesra dengan Aedy. Video luahan rasa itu dimuat naik pelakon drama Hikayat Cinta Si Pematah Hati selepas beberapa jam Aedy berkongsi foto mesra dengan seorang wanita jelita ketika di sebuah majlis hiburan. Nabila juga dilihat sudah memadam foto-foto mesra dengan pelakon berkenaan serta tidak lagi mengikuti Instagram Aedy Ashraf. Rata-rata netizen menganggap video berkenaan ditujukan kepada pelakon Dendam Aurora itu, malah foto terbaharu yang dimuat naik oleh Aedy menerima komen peminat yang tidak berpuas hati dengan perkara itu. Video tersebut mendapat lebih 55,000 tontonan, bagaimanapun Nabila menutup ruangan komen. Bagaimanapun, kedua-dua selebriti ini tidak pernah menjelaskan status sebanar hubungan mereka.