PELAKON dan penyanyi Anas Ridzuan sanggup mengubah penampilan diri sekiranya ditawarkan peranan memerlukan dia tampil dengan imej baharu. Anas, 28, berkata, dia sanggup memotong rambut afro yang menjadi identiti dirinya selain membentuk tubuh sasa jika berbaloi dengan tawaran diberikan. "Saya tidak ada masalah kalau perlu potong rambut atau kena buat tubuh 'sado' demi sesebuah watak lakonan. "Contohnya, kalau jadi polis saya perlu berambut pendek dan memiliki badan yang lebih sasa. Imej rambut afro sinonim dengan Anas. "Kalau kehendak watak mahu begitu, saya perlu buat. Paling penting tawaran itu berbaloi dan bersesuaian dengan karakter yang diberi," katanya kepada mStar Online. Dalam pada itu, bekas peserta program Mentor musim keenam ini memberitahu dia kini lebih selesa bergelar pelakon. Bagaimanapun kata Anas, dia tidak pernah melupakan bidang itu kerana permulaannya dalam industri hiburan tempatan sebagai penyanyi. "Saya bermula sebagai penyanyi tetapi sekarang banyak pula tawaran lakonan yang datang. "Orang tawar jadi pengacara pun saya ambil, kemudian rezeki sebagai penyampai radio. Anas bersama barisan pelakon filem Busker yang bakal menemui penonton di pawagam pada 11 Januari depan. "Saya tak pernah lupakan nyanyian kerana ini merupakan hobi dan minat saya sejak dahulu lagi," katanya. Bercakap mengenai perkembangan terkini, Anas bakal muncul dalam sebuah filem romantik remaja berjudul Busker. Selain Anas, filem berkenaan turut dibintangi oleh Daiyan Trisha, Hafeez Mikail, Bulan dan Mas Khan. Filem arahan Syed Khairul Fariz ini bakal ditayangkan di pawagam bermula 11 Januari 2018.