suria

“Alhamdulillah Saya Okay” - Nazim Othman

Nazim pernah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada otak dua tahun lalu. Foto SYED AZAMUDDEN

PELAKON Nazim Othman pernah berhadapan dengan ujian besar dalam hidupnya apabila terpaksa menjalani pembedahan bagi membuang ketumbuhan pada otak.

Dua tahun berlalu, Nazim, 33, memberitahu dia tidak mahu terlalu berfikir mengenai keadaannya ketika itu sebaliknya fokusnya adalah terhadap masa hadapan.

Bagaimanapun katanya, dia kini lebih mementingkan kesihatan selain bijak menyusun jadualnya agar sentiasa ada ruang untuknya berehat daripada bebanan kerja.

"Saya selalu berpesan kepada diri agar tidak terlalu berfikir tentang penyakit itu tetapi bukanlah bermaksud saya tak utamakan kesihatan.

"Sejak pembedahan saya memang lebih berhati-hati selain kurangkan kerja dan Alhamdulillah saya okay.

Nazim lebih mementingkan kesihatan dan menjaga waktu kerja.

"Cuma tidak mahu terlalu berfikir tentangnya kerana itu mungkin akan buat saya kembali sakit," katanya.

Nazim ditemui pada pelancaran drama Ana Kleopatrena yang diadakan pada Sabtu.

Drama bersiri 30 episod itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Mimi Lana, Zoey Rahman, Adeline Tsen dan Mimi Ernida.

Ia sudah pun menemui penonton sejak 29 November lalu pada setiap hari Rabu dan Khamis, 9 malam di saluran HyppSensasi HD (166).

Dalam pada itu, Nazim berkata, sejak menjalani pembedahan dia tidak pernah meletakkan sebarang syarat berhubung watak lakonannya pada pihak produksi.

Barisan pelakon drama bersiri Ana Kleopatrena. Dari kiri; Mimi Ernida, Nazim Othman, Zoey Rahman dan Adeline Tsen.

Ini kerana kata Nazim, dia yakin pihak produksi sendiri sedia maklum dengan keadaannya dan tidak mempunyai masalah apabila berada di set penggambaran.

"Biasanya kalau watak berat saya akan lebihkan berehat di antara babak dan kurangkan berjalan agar tidak kepenatan.

"Selain daripada itu semuanya sama sahaja dan Alhamdulillah urusan kerja saya sering dipermudahkan Allah," katanya.

Dalam perkembangan lain, Nazim berkata, dia kini sedang sibuk di lokasi drama bersiri 80 episod berjudul Mona Lisa.

Ia menggandingkan Nazim dan Zara Zya sebagai watak utama dan penggambaran dijangka selesai pada April tahun hadapan.

Nazim Othman, Ana Kleopatrena

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain