PENYANYI Marsha Milan Londoh memberitahu dia sentiasa menanti dengan sabar apabila berhubung soal anak kerana percaya suatu hari nanti akan tiba gilirannya mempunyai cahaya mata. Marsha memberitahu dia tidak pernah berhenti berdoa agar dikurniakan zuriat secepat mungkin namun sebagai manusia biasa dia menyerahkan perkara itu kepada ketentuan Allah. "Menjelang hari lahir saya pada 6 Disember ini pun saya berdoa agar cepat-cepat dapat anak selain urusan karier saya dipermudahkan. Marsha tidak tertekan ditanya soal anak. "Sebagai wanita saya pun tak sabar mahu bergelar ibu dan semoga penantian ini akan tercapai tidak lama lagi," katanya kepada mStar Online. Marsha ditemui di Majlis Meet And Greet Marsha Milan Londoh yang diadakan pada Sabtu. Menerusi program itu, hampir 50 peminat bertuah diberi peluang bertemu dan beramah mesra dengan Marsha dan melakukan pelbagai aktiviti bersama. Marsha bahagia melayari rumah tangga dengan ahli perniagaan, Mohamed Shaiful. Sementara itu, Marsha berkata dia tidak tertekan jika diajukan soalan mengenai anak dan menganggap rezeki itu akan datang apabila tiba waktu yang sesuai. "Kalau awal-awal dulu, mungkin tertekan apabila ada orang tanya. Tapi bila fikir balik, perkahwinan kami pun baru masuk dua tahun, masih baru lagi. "Insya-Allah, apabila tiba waktu sesuai, Allah akan beri rezeki itu. Selebihnya kita berdoa," ujarnya. Marsha rindu dan mahu bertemu dengan peminatnya seluruh Malaysia. Bercakap mengenai acara bertemu peminat, Marsha memaklumkan hampir 10 tahun dia tidak melakukan program sedemikian. Malah, penyanyi lagu Hilang ini turut teruja kerana dapat membawa suaminya, Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail meraikan peminat bersama. "Alhamdullilah, saya dapat bertemu penyokong dan peminat setelah hampir 10 tahun tak buat program begini, lebih bermakna lagi apabila suami turut serta dalam acara ini. Marsha memotong kek yang dihadiahkan oleh peminat. "Kalau dulu suami agak pemalu berdepan orang ramai dalam industri tapi sekarang tidak lagi. "Dia sudah boleh menyesuaikan diri dengan situasi dunia hiburan, malah dia lebih banyak menyokong karier saya dan dia juga umpama pengurus peribadi," katanya. Marsha mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan berusia 30 tahun itu pada 31 Disember 2015 di Georgetown, Pulau Pinang.