suria

Mia Ahmad Dah Belajar Banyak Benda

Mia memilih watak untuk dia keluar dari zon selesa.

PELAKON Mia Ahmad berpendapat dia perlu memilih watak dalam sesebuah karya yang ditawarkan supaya tidak hanya berada di dalam zon selesa.

Mia atau nama sebenarnya Samihah Ahmad Baderi, 29, berkata dia mahu mencabar tahap lakonannya agar menjadi lebih baik.

"Masa awal kemunculan saya dalam bidang lakonan dulu rasa senang dan biasa sahaja. Sekarang dah belajar banyak benda. Netizen juga salah satu benda yang saya belajar.

"Takkan saya nak duduk dalam zon selesa sahaja. Mesti nak cuba benda baru. Saya nak watak yang lagi berat. Saya tak kisah orang nak cakap saya memilih ke apa.

"Sebab saya memang memilih watak. Saya tak nak bila diberi watak kelakar dan terus dapat watak yang sama," kata Mia kepada mStar Online.


Ashraf Muslim dan Mia menerima anugerah Pelakon Lelaki dan Wanita Terbai menerusi drama Mr. Boss, Miss Stalker .

Mia dipilih sebagai Pelakon Wanita Terbaik pada malam Anugerah Telenovela 2017 yang berlangsung di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC) menerusi drama Mr. Boss, Miss Stalker, baru-baru ini.

Menurut Mia, biarpun bakatnya sudah terbukti menerusi drama tersebut, namun isteri penjaga gol pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) Izham Tarmizi ini mengakui masih belum berpuas hati.

"Saya rasa belum cukup. Tak puas lagi. Nak bukti sesuatu yang bagus tapi saya perlukan produser di luar sana untuk bagi karya yang lebih baik.

Mia Ahmad. Foto: LOW BOON TAT.

"Lebih mencabar untuk buktikan yang saya mampu buat. Saya nak lagi karya yang memerlukan saya meratap atau menangis yang lebih mendalam.

"Watak yang susah untuk dibawa dan mencabar lagi," ujarnya.

Dalam pada itu, Mia berkata dia sentiasa bersedia menerima sebarang komen atau kritikan netizen walaupun menyakitkan untuk dibaca.

Malah, dia mengambil perkara itu secara positif untuk memperbaiki lakonan menjadi lebih baik.

"Daripada komen dan kritikan yang netizen berikan itu, saya gunakan untuk paksa diri lakukan yang terbaik.

"Jadikan ia sebagai bukti buat mereka yang saya boleh buat. Komen-komen netizen ini tidak semuanya negatif. Memang ada yang menyakitkan dan pedih untuk kita baca.

"Tapi kalau kita guna dan ambil benda itu secara positif, ia akan jadi yang lebih baik," kata Mia.

Mia Ahmad

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Fizo, Mawar Dapat Anak Perempuan

Artikel Lain