KUALA LUMPUR: Pelakon Nora Danish memberitahu dia tidak dibenarkan berjalan selama tiga minggu akibat mengalami masalah tulang pinggul baru-baru ini. Nora, 36, yang kini hamil tujuh bulan berkata, perkara tersebut disebabkan bayi dalam kandungannya yang agak besar, selain faktor umur. "Mengandung pada usia sudah lebih 30 tahun agak berbeza berbanding kandungan pertama ketika usia 20an. "Kandungan saya lebih besar kali ini sehingga saya alami masalah tulang pinggul dan tidak boleh berjalan selama tiga minggu," ujarnya kepada mStar Online. Nora terpaksa menggunakan kerusi roda. Nora ditemui pada majlis pelancaran produk kosmetik miliknya Oh Most Wanted di Play Up Advance, Fahrenheit 88, dekat sini, Sabtu. Nora berkata, masalah kesihatan yang dialaminya juga menyebabkan dia bergerak menggunakan bantuan kerusi roda. Sementara itu, ditanya tentang kecaman netizen yang menganggap dia sebagai pemalas, Nora berkata, dia tidak membaca komen-komen kritikan seperti itu. "Saya tidak baca komen-komen yang mengacau jiwa dan saya tidak kisah apa yang mereka nak katakan. "Biasalah natizen akan kata macam-macam, saya nak hidup dalam keadaan positif," ujarnya. Nora berkahwin dengan Nedim Nazri pada 30 Mac lalu dalam sebuah majlis tertutup.