suria

Erma Fatima Azam Baiki Ibadat

Erma azam untuk baiki ibadat dan tidur yang cukup pada tahun 2018.

PETALING JAYA: Menjelang tahun 2018, penerbit dan pengarah Erma Fatima berazam untuk memperbaiki ibadat yang sering terabai akibat terlalu leka dengan komitmen kerja.

Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad, 49, berharap dapat melawan sifat malas yang sering melengahkan solat mengikut ketetapan waktu.

"Terlalu banyak ibadat terabai kerana kerja dunia. Ya Allah, ampunilah aku.. Kurniakan kepada aku keteguhan dan kekuatan iman agar dapat aku menjalani ibadatku kepadamu mengikut ketetapan waktu.

"Kurniakan aku kekuatan agar dapat aku melawan segala bisikan syaitan yang tak jemu-jemu menghembus sifat malas dan melengahkan solat dalam diriku," katanya.

Erma berkata demikian menerusi Instagram miliknya dengan menyifatkan tahun 2017 meninggalkan banyak kenangan pahit dan manis buat dirinya.

Dalam pada itu, dia juga berazam untuk mengubah masa tidur demi kesihatan dirinya.

Erma Fatima

Katanya, kesibukan terhadap kerja membuatkan dia kurang rehat dan hanya tidur beberapa jam sehari.

"Aku akan pastikan 2018 akan merubah sistem hidupku yang huru-hara. Tidur lepas Subuh... Dua hingga tiga jam sehari. Aku harus pastikan aku tidur sebelum jam 12 malam supaya kesihatan terjamin.

"Setidak-tidaknya, aku dapat hidup lama sikit untuk menyelesaikan segala tanggungjawab aku yang tersisa," katanya.

Pelakon yang dikenali dengan watak Mak Cun ini juga memberitahu tanggungjawabnya terhadap keluarga semakin besar selepas berpisah dengan suami iaitu Bade Azmi pada 17 Ogos lalu selepas 26 tahun berumah tangga.

Selain itu, tambahnya, dia juga berjanji untuk tidak membeli barangan berjenama mewah yang hanya membuatkan seseorang itu menjadi riyak.

"Inilah alatan masa kini yang akan menjadikan kita riak! Saya berikrar tidak akan membeli beg, kasut dan sebagainya yang berjenama selepas ini, kecuali Adidas dan Nike kerana ia adalah kasut harianku.

"Tiada lagi barangan berjenama... Tiada lagi pembaziran!" tulisnya.

Erma Fatima, 2018

Artikel Berikut

Artikel Lain