FOTO pengasas kosmetik, Joy Revfa meletakkan tangan di bahu Datuk Seri Aliff Syukri telah mengundang kecaman daripada netizen. Joy atau nama sebenarnya Siti Arifah Mohd Amin, 30, berkata dia diarahkan untuk menyentuh bahu penyanyi lagu Abang Nak Tegur itu namun dengan berlapik dan hanya untuk beberapa saat. Foto tersebut juga turut menampilkan pengacara Nadia Anuar sewaktu sesi fotografi bagi keluaran produk tudung terbaru kerjasama antara Joy dan Aliff. Netizer selar tindakan Joy letakkan tangan di bahu Aliff. "Sewaktu sesi fotografi memang kami diarahkan untuk menyentuh bahu Datuk Aliff Syukri tapi ia berlapik dan hanya bersentuhan beberapa saat sahaja untuk kami jalani di sebalik tabir fotografi itu. "Tapi tak sangka mendapat kecaman daripada netizen sehingga perkara itu menjadi satu isu perbalahan antara mereka," kata Joy ketika dihubungi mStar Online. Joy diminta mengulas kecaman netizen yang mengatakan dia sebagai wanita yang berakhlak dengan mudah menyentuh bukan mahram. Malah, ada segelintir netizen berpendapat bahawa bersentuhan dengan lelaki atau perempuan ajnabi dengan sengaja walaupun berlapik dan dengan niat untuk menyentuh hukumnya tetap haram. Antara komen kecaman daripada netizen. Dalam pada itu, Joy menafikan gosip yang mengatakan dia sudah bertemu pengganti baru selepas bercerai dengan penyanyi Hafiz Hamidun pada Oktober tahun lalu. Menurutnya, dia belum lagi memikirkan soal bercinta atau berkahwin dan hanya ingin memberi tumpuan pada anaknya, Arryan Firdaus yang kini berusia tiga tahun. "Alhamdulillah, kehidupan saya semakin bahagia. Tapi soal nak bercinta atau berkahwin lagi itu saya belum fikirkan lagi. "Saya belum ada pengganti dan gosip yang mengatakan saya sudah ada pengganti itu pun tidak benar. Joy mahu fokus besarkan anaknya. "Buat masa sekarang memang saya nak fokus besarkan Arryan Firdaus," kata Joy. Gosip tersebut timbul apabila baru-baru ini Joy memuat naik satu gambar jambangan bunga pemberian seorang bernama Mr. J di Instagramnya. Pada tahun lalu, selama beberapa bulan dunia hiburan kecoh dengan konflik rumah tangga Joy dan Hafiz yang berakhir dengan perceraian pada 25 Oktober 2017.