PELAKON dan pengacara Ifa Raziah berkata dia sudah lali dengan kritikan dan cacian netizen mengenai penampilannya. Menurut Ifa, 44, dia sudah terbiasa dengan kata-kata negatif masyarakat dan menyedari apa yang dilakukan pasti mendapat perhatian ramai. "Apa sahaja yang saya lakukan pasti ada yang mengata dan kutuk, sampaikan hal jaga badan dan penampilan pun orang nak caci. "Ramailah yang 'makan hati' apabila jadi cantik ni, sedangkan mereka tak tahu betapa susahnya saya mengawal cara pemakanan untuk sampai ke tahap ini," katanya kepada mStar Online. Ifa amalkan diet ekstrem. Kebelakangan ini, penampilan Ifa yang lebih anggun dan menawan mengundang kritikan netizen yang menyangka dia menjalani rawatan kecantikan secara pembedahan. Menafikan dakwaan tersebut, penyanyi lagu Terus Terang ini memberitahu dia mengikuti diet secara ekstrem sepanjang tiga bulan dan tidak melakukan sebarang rawatan kecantikan moden. "Saya tak buat pembedahan untuk kurus atau cantik. Sebaliknya hanya mengamalkan rutin diet yang lebih ekstrem. "Tak semua orang mampu buat apa yang saya buat, silap-silap bahaya pula yang datang, tapi saya nekad amalkan diet ini kerana nak kurus dan nampak cantik," ujarnya. Sementara itu, Ifa turut berkongsi rahsia mengurangkan berat badan dengan hanya memakan buah-buahan serta minum air kosong. Ifa makan buah-buahan dan minum air kosong sahaja untuk mendapat berat badan ideal. Katanya, teknik yang diamalkan itu ternyata berkesan dan berhasil apabila berat badanya turun daripada 72 kilogram kepada 58 kilogram. "Sejujurnya, saya tak makan nasi dan hanya isi perut dengan memakan buah-buahan serta banyakkan minum air kosong sahaja. "Memang ramai yang bertanya di mana saya beli ubat kurus, hakikatnya saya amalkan diet dengan cara begini," ceritanya. Mengenai wajahnya yang kelihatan lebih cantik dan gebu, Ifa berkata, dia hanya mengamalkan produk keluaran sendiri, Diva's Secret.