suria

Ifa Raziah Report Polis Atas Dakwaan Mahu Tembak Roslan Shah

Ifa Raziah membuat laporan polis berhubung dakwaan dia mengupah pembunuh upahan untuk menembak pengacara Roslan Shah.

KUALA LUMPUR: Artis Ifa Raziah terkejut apabila pengacara berasal dari Singapura iaitu Roslan Shah membuat laporan atas dakwaan kononnya dia mengupah pembunuh upahan untuk menembaknya.

Ifa berkata, dia hanya mengetahui mengenai perkara itu selepas dihubungi oleh seorang pegawai polis dari Johor pada pagi Selasa yang memaklumkan mengenai perkara berkenaan.

"Pagi tadi saya terkejut apabila ada polis menelefon memberitahu ada seorang lelaki iaitu Roslan membuat laporan polis mendakwa saya mengupah pembunuh upahan untuk menembaknya.

"Memang saya terkejut kerana tuduhan itu sangat melampau dan ia jelas satu fitnah terhadap saya," katanya.

Ifa ditemui media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul selepas membuat laporan polis berhubung dakwaan palsu Roslan itu pada petang Selasa.

Ifa bersama Bob (kiri) yang didakwa sebagai pembunuh upahan dan peguamnya, Thalia Rohaina Abdul Latiff.

Kata Ifa, tuduhan dibuat Roslan itu sangat berat kerana melabelnya sebagai penjenayah dan ia fitnah yang menjatuhkan kredibilitinya sebagai selebriti.

Malah kata Ifa, dia tidak mengetahui niat sebenar Roslan membuat dakwaan palsu itu kerana dia tidak pernah mengeluarkan kata-kata ugutan seperti didakwanya.

"Sepanjang saya membuat temu bual bersama media mengenai perselisihan faham kami tidak pernah sekali pun saya ingin menjentiknya apatah lagi mengugut untuk membunuhnya.

"Apa yang saya minta adalah adakan satu pertemuan dan permohonan maaf terhadap saya dan Norshila Amin. Itu sahaja!

"Ini sudah melampau apabila dia buat begini. Jahat sangat ke saya sampai dia buat begini?," ujarnya.

Dalam pada itu, Ifa berkata, lelaki yang didakwa sebagai pembunuh upahan dikenali sebagai Bob itu sebenarnya adalah pengurus artis dari Malaysia.

"Bob sudah lama berkecimpung dalam bidang seni sebagai pengurus artis. Tidak pasal-pasal dia dituduh sebagai pembunuh upahan.

"Saya harap pihak polis akan mengambil tindakan berhubung perkara ini kerana apa dilakukannya sudah melampau," jelasnya.

Berikutan dakwaan itu kata Ifa, pihak polis dari Johor akan datang ke Kuala Lumpur pada Rabu (esok) untuk mengambil keterangan daripadanya.

Ifa Raziah, Roslan Shah

Artikel Sebelum

Artikel Lain