suria

Farid Kamil Mengaku Tak Bersalah Empat Tuduhan Jenayah

Farid dibebaskan dengan seorang penjamin dan kes melibatkannya akan disebut semula pada 5 Mac depan. Foto: KAMARUL ARIFFIN.

PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan termasuk menampar seorang anggota polis trafik di Balai Polis Kota Damansara pada 11 Januari lalu.

Farid, 37, minta dibicarakan selepas semua pertuduhan dibaca secara berasingan di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham di Mahkamah Majistret Petaling Jaya di sini, Selasa.

Nor Ariffin menetapkan 5 Mac depan sebagai sebutan semula kes.

Menerusi pertuduhan pertama dan kedua Farid didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Ashraf Ahmad dan Konstabel Muhammad Nizam Jamaluddin.

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimun setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, Farid didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap Konstabel Muhammad Nizam Jamaluddin sebagai penjawat awam dengan niat menghalangnya melakukan tugas.

Diana turut hadir memberi sokongan kepada suaminya.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Pertuduhan keempat, Farid didakwa berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan tidak sopan terhadap Konstabel Muhammad Nizam Jamaluddin sehingga boleh mendatangkan kemarahan.

Bagi kesalahan itu, pelakon itu didakwa mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 yang memperuntukan denda tidak lebih RM500 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di kaunter Balai Polis Kota Damansara di sini pada pukul 1.20 petang, 11 Januari lalu.

Farid dibebaskan dengan ikat jamin.

Farid yang memakai baju-T berwarna kelabu dilihat tenang berada dalam kandang tertuduh ketika kesemua pertuduhan dibacakan kepadanya.

Pertuduhan itu dibacakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fazeedah Faik dan pihaknya memohon jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili Farid, Athari Bahardi dalam rayuan kepada mahkamah memohon jaminan itu dikurangkan kepada RM8,000 bagi semua pertuduhan.

Mahkamah membenarkan jaminan RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin iaitu adiknya, Fadzil Zahari.

Isteri Farid, Datin Diana Danielle turut hadir ke mahkamah bagi memberi sokongan kepada suaminya itu.

Dalam perkembangan lain, Farid juga diikat jamin bagi kes dibawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952  dan akan didakwa dalam tempoh terdekat bergantung pada laporan daripada pihak Patalogi, Hospital Kuala Lumpur.

Farid Kamil

Artikel Berikut

Artikel Lain