suria

"Penat Kami Belajar Bahasa Korea!"- Eyka Farhana

Eyka dan Nazim dikritik bercakap bahasa Korea dalam drama.

PETALING JAYA: Pelakon Eyka Farhana terkilan apabila usahanya berbahasa Korea dalam drama berjudul Ustaz Korea Sebelah Rumah dikecam netizen.

Eyka atau nama sebenarnya Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi, 23, berkata, dia dan gandingannya Nazim Othman sudah berusaha untuk belajar bahasa itu sebelum memulakan penggambaran.

"Saya sedih kerana sudah buat yang terbaik, tolonglah hargai, penat kami belajar bersungguh-sungguh bahasa Korea.

"Saya rasa tidak salah kita cuba sesuatu yang baharu dalam lakonan. Saya rasa seronok ketika penggambaran drama itu dan harap penonton turut belajar bersama ketika menonton drama itu," ujarnya kepada mStar Online.

Eyka berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kecaman netizen di laman Twitter terhadap klip drama lakonannya dengan aktor Nazim Othman berjudul Ustaz Korea Sebelah Rumah.

Lakonan Eyka dan Nazim dalam drama Ustaz Korea Sebelah Rumah.

Menerusi klip video sedutan drama tersebut, netizen menganggap nada dan sebutan bahasa Korea oleh Nazim dan Eyka agak pelik dan tidak menjadi.

Dalam pada itu, Eyka berkata, penonton perlu faham jalan cerita drama tersebut terlebih dahulu.

Katanya, dia membawa watak sebagai remaja yang terlalu berminat dengan kumpulan K-pop.

"Sudah tentulah saya cakap tidak seperti orang Korea sebenar kerana saya pun belajar seminggu sebelum mula drama.

"Sebelum kecam mereka juga perlu tahu jalan ceritanya. Saya bawa watak remaja yang terlalu minat dengan artis K-pop sehingga sanggup belajar bahasa mereka," ujarnya.

Tambah Eyka, penggambaran drama itu dijalankan pada 2016 dan ditayangkan sekitar Mei tahun yang sama di Astro Ria.

Eyka Farhana, Nazim Othman

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Belum Ada Rezeki Siti Sarah...

Artikel Lain