suria

Belum Ada Rezeki Siti Sarah...

Siti Sarah rancang tunaikan umrah Ramadan ini. Foto: SHAARI CHEMAT / The Star

PENYANYI Siti Sarah berkata dia menyimpan hasrat dan impian untuk mengerjakan ibadah umrah, namun sehingga kini belum tercapai.

Menurut Sarah atau Siti Sarah Raisuddin, 33, dia dan suami, Shuib terpaksa menunda hasrat tersebut sejak tahun lalu kerana komitmen kerja.

"Saya dah lama impikan untuk buat ibadah umrah, perancangan itu dah ada sejak tahun lalu namun terpaksa ditunda.

"Saya dan suami agak sibuk dengan urusan kerja dan tak dapat nak tunaikan umrah ketika itu. Masing-masing ada komitmen yang harus diselesaikan," katanya kepada mStar Online.

Perancangan tertunda kerana komitmen kerja.

Sarah ditemui semasa program An Evening With Siti Sarah And Hearty Sarah di Soireelab, Putrajaya pada Ahad.

Dalam majlis tersebut, hampir 100 orang peminat penyanyi lagu Kesetiaan itu berkumpul dan beramah mesra dengan artis kesayangan mereka itu.

Sementara itu, Sarah memberitahu dia sudah merancang untuk menunaikan ibadah tersebut pada bulan Ramadan tahun ini.

Bakal muncul dengan single baharu bulan depan.

"Insya-Allah, Ramadan ini saya dan suami akan ambil masa mengerjakan Umrah kerana bulan itu kami bebas daripada kerja.

"Harap-harap impian itu akan tercapai dan berjalan lancar seperti yang telah dirancang," katanya.

Bercakap mengenai aktiviti bersama peminat, Sarah berkata ini merupakan tahun kedua program dianjurkan kelab peminatnya iaitu Hearty Sarah.

Bersama sebahagian ahli kelab peminat Hearty Sarah.

"Ini tahun kedua kami buat aktiviti santai bersama dan berterima kasih kepada mereka kerana sentiasa menyokong kerjaya seni saya.

"Cuma sedih kerana tak dapat berjumpa dengan semua kerana kekangan waktu dan jarak yang jauh. Ada yang tinggal di utara dan ada juga di Sabah, Sarawak dan Brunei.

"Kalau diberi peluang satu hari nanti saya mahu bertemu dan berkumpul dengan semua peminat dalam majlis yang lebih besar," katanya.

Siti Sarah

Artikel Lain