KELUARGA Datuk Farid Kamil Zahari berhasrat membawa pelakon tersebut menjalani pemeriksaan dan rawatan di hospital selepas dibebaskan daripada tahanan reman. Menurut adiknya, Dr. Anis Anwar, 30, dia mahu merujuk Farid kepada pakar perubatan berkaitan untuk rawatan selanjutnya jika benar menghadapi masalah mental akibat tekanan. "Selepas dia dibenarkan keluar nanti, kita akan membawa dia ke pakar perubatan dan buat rawatan yang bersesuaian. Kita kena tengok dahulu laporan hasil pemeriksaan. "Itu semua bergantung kepada penilaian hospital. Banyak faktor yang boleh mendorong kepada tekanan perasan dan ia juga adalah salah satu daripada masalah mental," katanya kepada mStar Online. Farid Rindu Anak-Anak “Saya Baik-Baik Sahaja, Hanya Ikut Perintah”- Farid Kamil Keluarga mahu bawa Farid jalani pemeriksaan di hospital. Dr. Anis ditemui sejurus mahkamah melanjutkan perintah reman terhadap Farid Kamil selama sehari bermula pada Isnin di Mahkamah Majistret Petaling Jaya. Terdahulu, menerusi laporan mStar Online bertarikh 12 Januari, Fadzil Zahari tidak menolak kemungkinan abangnya mempunyai masalah mental atau mengalami tekanan perasaan. Dalam pada itu, Fadzil berkata mereka sekeluarga akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan berharap kes ini dapat diselesaikan secara telus serta terperinci. "Kita akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan kita faham polis perlukan masa untuk menjalankan siasatan. Buat masa ini kami tak boleh nak komen lanjut. "Kami berharap perkara ini dapat diselesaikan secara telus dan semuanya baik-baik sahaja," ujarnya. Anis (kiri) dan Fadzil memberi sokongan penuh kepada Farid Kamil. Ditanya mengenai punca Farid berkelakuan sedemikian, Fadzil berkata dia masih belum mengetahui situasi sebenar. Suami kepada pelakon Yana Samsudin ini turut berharap pihak media dan masyarakat memberi ruang kepada adiknya itu. "Buat masa ini kami masih belum tahu lagi punca yang membuatkan dia berkelakuan sedemikian. "Beri dia sedikit ruang dan apabila keadaan dah terkawal boleh tanya tuan badan sendiri apa yang berlaku," katanya. Pada 11 Januari lalu, Farid hadir ke Balai Polis Kota Damansara bersama seorang rakan untuk membuat laporan berhubung kes kemalangan jalan raya. Keluarga tidak mengetahui punca Farid berkelakuan sedemikian. Bagaimanapun ketika ditanya mengenai tujuan laporan ingin dibuat, Farid menunjukkan mesej aplikasi Whatsapp berbunyi '300 artis hutang ah long'. Farid tiba-tiba bertukar berang sebelum menampar anggota polis berkenaan yang turut disaksikan oleh seorang anggota lain dan tiga orang awam. Ujian saringan air kencing juga mendapati Farid positif dadah jenis ganja. Pelakon berusia 37 tahun ini telah ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 kerana berkelakuan tidak senonoh di balai polis serta Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana perlakuan yang menyebabkan kecederaan. Selain itu, Farid juga direman mengikut Seksyen 90 Akta Polis, Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.