suria

"Jalan Cerita Hidup Saya Semakin Menarik" - Farid Kamil

Farid Kamil dibebaskan dengan ikat jamin pada Selasa. Foto: KAMARUL ARIFFIN.

PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil menyifatkan kontroversi yang melanda dirinya ketika ini sebagai dugaan dalam menjadikan perjalanan hidupnya lebih menarik.

Farid, 37, bagaimanapun berkata, dia bersyukur telah pun dibebaskan selepas lima hari ditahan reman bagi membantu sisatan berhubung kes mengamuk dan menyerang seorang anggota polis serta dua orang awam di Balai Polis Trafik Kota Damansara di sini pada 11 Januari lalu.

“Alhamdulillah syukur kepada Allah yang telah memberikan cerita jalan hidup saya semakin hari semakin menarik,” kata Farid secara ringkas kepada mStar Online.

Farid ditemui sejurus selepas selesai urusan ikat jamin di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, pada  pukul 3 petang, Selasa.

Dalam pada itu, Farid juga memberitahu dia akan bertemu dengan dua orang anaknya iaitu Muhammad, 5, dan Nur Aurora, 3, secepat mungkin.

Farid memberitahu dia kini berasa lebih baik. 

Malah pelakon filem Tombiruo ini juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang telah menyokongnya dan sempat berpesan kepada peminat agar menjadi diri serta keluarga.

“Saya rindukan anak-anak saya. Insya-Allah akan bertemu mereka secepat mungkin. Alhamdulillah, saya berasa lebih baik dan bersyukur pada Allah.

“Saya berterima kasih pada semua orang yang menyokong. Kepada semua di luar sana, jaga diri baik-baik, jaga keluarga dan ingat Allah selalu. Assalammulaikum,” ujarnya.

Terdahulu, Farid, 37, mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan dan dibebaskan dengan ikat jamin pada Selasa.

Farid minta dibicarakan selepas semua pertuduhan dibaca secara berasingan di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pagi Selasa.

Nor Ariffin menetapkan 5 Mac depan sebagai sebutan semula kes.

Farid Kamil

Artikel Lain