suria

‘Pok Ya Cong Codei 2’ Daripada Sabri Yunus

Sabri Yunus tidak menolak kemungkinan ada akan sekual telefilem Pok Ya Cong Codei.

PELAKON dan pengarah Sabri Yunus tidak menolak bakal menerbitkan telefilem sekual Pok Ya Cong Codei  yang menjadi tular baru-baru ini.

Sabri, 57, berkata, dia akan bertemu dengan pihak pengurusan Astro pada 15 Februari ini bagi berbincang mengenai perancangan tersebut.

"Belum jadi lagi tetapi perbincangan ke arah itu memang ada malah saya akan bertemu dengan pihak Astro bagi membincangkan mengenai perkara itu.

"InsyaAllah kalau tiada halangan dan betul hal tujunya pasti akan ada Pok Ya Cong Codei 2," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Ahad.

Dalam pada itu, Sabri berkata, dia tidak tertekan untuk menghasilkan sekual tersebut walaupun menyedari harapan penonton tinggi.

Pok Ya Cong Codei menjadi perbualan penonton.

Sebaliknya kata Sabri, dia tidak mahu terikat dengan kejayaan diraih Pok Ya Cong Codei kerana paling penting jalan cerita perlu menarik.

"Apa sahaja boleh berlaku dalam jalan cerita sekual itu nanti dan saya tidak mahu berfikir tentang kejayaan diraih sebelum ini sebaliknya fokus dengan apa yang ingin saya ketengahkan.

"Ia boleh jadi diterima baik atau sebaliknya dan perkara itu saya tidak dapat diramal cuma paling penting sebagai penulis, pengarah dan pelakon saya perlu berikan yang terbaik," katanya.

Pok Ya Cong Codei yang ditayangkan pada 20 Januari lalu menjadi tular disebabkan perkataan Concorde yang dieja sebagai Cong Codei selain jalan ceritanya yang menarik.

Sabri Yunus, Pok Ya Cong Codei

Artikel Lain