PETALING JAYA: Adik kepada aktor Sofi Jikan iaitu Shaiful Jikan meminta mereka diberi ruang untuk menyelesaikan kes melibatkan aktor berkenaan. Shaiful juga turut meminta peminat aktor itu agar mendoakan semuanya berjalan dengan baik. "Maaf ya, bagi ruang kepada kami untuk selesaikan dahulu. Semoga semua urusan dipermudahkan dan baik-baik sahaja," ujarnya kepada mStar Online. Sofi ditahan pada Selasa, pukul 11 malam ketika hadir untuk memberi keterangan di Balai Polis Mutiara Damansara berhubung laporan polis yang dibuat pelakon Datuk Farid Kamil pada 31 Januari lalu. Dia ditahan selepas didapati positif dadah jenis ganja. Susulan Farid Kamil Buat Laporan Polis, Sofi Jikan Direman 3 Hari Shaiful (kanan) hadir di Mahkamah Petaling Jaya pada Rabu. Sementara itu, Shaiful enggan mengulas tentang dakwaan abangnya antara dalang yang cuba menganiaya aktor Farid Kamil dengan memasukkan dadah ke dalam minuman seperti didakwa. "Saya tiada komen tentang itu kerana ia masih dalam siasatan polis," ujarnya. Dalam laporan sebelum ini. Farid didakwa mendedahkan tiga rakan artis yang terlibat meletakkan dadah dalam minumannya. Individu yang turut dikaitkan dalam laporan itu ialah Sofi Jikan namun laporan berkenaan tidak didedahkan. Dalam pada itu, Penolong Pendaftar Mahkamah Petaling Jaya Hairol Azhar Mohd Ishak membenarkan permohonan polis untuk mendapatkan perintah reman terhadap Sofi selama tiga hari bermula Rabu bagi membantu siasatan. Dia akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.