PELAKON Sofi Jikan yang ditahan polis rentetan laporan dibuat Datuk Farid Kamil berharap agar Allah akan menunjukkan kebenaran atas tuduhan yang dibuat terhadapnya. Sofi atau nama sebenarnya Mohamad Shoffi Jikan, 48, berkongsi luahan tersebut menerusi laman Instagramnya pada malam, Selasa. "Biar Tuhan Yang tunjukkan kebenaran atas tuduhan tersebut. Wa (saya) punya Sengat Fans tahu sapa wa," tulis Sofi. Malah, pelakon KL Gangster itu turut memberitahu akan membuat penjelasan di aplikasi Bigo Live pada pukul 10 pagi, Rabu namun perkara itu tidak dilakukan. Dalam pada itu menurut laporan The Star Online, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din Said berkata Sofi ditahan pada Selasa, pukul 11 malam ketika hadir untuk memberi keterangan di Balai Polis Mutiara Damansara berhubung laporan polis yang dibuat pelakon Datuk Farid Kamil pada 31 Januari lalu. Dia ditahan selepas didapati positif dadah jenis ganja. Sofi memuat naik foto dan kapsyen tersebut sebelum ditahan di Balai Polis Mutiara Damansara. "Dia memberi kenyataan berhubung laporan polis yang dibuat oleh Datuk Farid Kamil. "Kami sedang menyiasat kes di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," kata Mohd Zani Che Din Said. Dalam laporan tersebut, Farid didakwa mendedahkan tiga rakan artis yang terlibat meletakkan dadah dalam minumannya. Individu yang turut dikaitkan dalam laporan itu ialah Sofi Jikan namun laporan berkenaan tidak didedahkan. Dalam pada itu, Penolong Pendaftar Mahkamah Petaling Jaya Hairol Azhar Mohd Ishak membenarkan permohonan polis untuk mendapatkan perintah reman terhadap Sofi selama tiga hari bermula Rabu bagi membantu siasatan. Dia akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Sebelum ini, sebanyak lima pertuduhan dikenakan terhadap Farid termasuk menampar seorang anggota polis trafik di Balai Polis Kota Damansara pada 11 Januari lalu dan dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM12,000 pada 16 Januari lalu. Selain itu, dia juga didakwa memasukkan dadah jenis THC (Tetra Hydrocannibol) ke dalam badan, pada 11 Januari lalu dan dia dibebaskan dengan jaminan RM3,000. Pelakon itu dilaporkan bertemu Sofi Jikan sebelum kejadian berkenaan.