PETALING JAYA: Pelakon Shima Anuar menepis komen netizen yang mendakwa dia sudah memberi susu formula kepada anaknya yang baharu berusia dua bulan. Shima, 27, berkata, tindakannya menyusukan bayinya menggunakan botol tidak bermakna dia sudah menggunakan susu formula. "Saya berehat daripada berlakon untuk memberi fokus kepada anak saya, sudah tentu saya beri susu badan bukan susu formula kerana ia (susu badan) yang terbaik. "Netizen yang komen itu mungkin tidak tahu tentang pam susu dan sangka setiap susu yang diberi dalam botol hanya susu lembu sahaja," ujarnya kepada mStar Online. Pelakon filem 7 Petala Cinta itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan pada 14 Disember tahun lalu selepas mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan Mohd Solih Toha pada 8 April tahun lalu. Shima ditegur netizen. Sementara itu, Shima mengakui dalam proses mengajar anak sulung itu untuk menggunakan botol susu agar mudah ketika mereka berada di luar rumah. "Setiap kali keluar saya akan pam dahulu badan ke dalam botol supaya senang untuk beri dia minum ketika kami berada di luar," ujarnya. Dalam pada itu, ditanya tentang perancangan untuk menambah cahaya mata, Shima berkata, ia mahu memberi perhatian kepada bayi pertamanya dahulu. Namun, dia tidak menolak jika dikurniakan rezeki zuriat itu dalam masa terdekat. "Dia baru berusia dua bulan dan sekarang belum pandai apa-apa lagi. Perancangan untuk anak kedua belum lagi, kalau boleh biarlah dia besar dahulu. Saya kesian nanti dia kurang perhatian jika ada adik dalam masa terdekat," ujarnya. Selain itu, dalam perkembangan kerjaya lakonan, Shima berkata, dia mungkin kembali aktif selepas bayi tersebut berusia setahun.