PETALING JAYA: Aktres Fatin Afeefa ingin bertanya kepada bekas suaminya, Adam Shahz siapakah wanita yang dimaksudkan oleh aktor itu dengan menuduh seorang wanita telah menyihirnya? Ia disebabkan Fatin Afeefa tidak pernah melakukan perbuatan syirik itu selain mahukan kepastian kenapa bekas suaminya itu membuat tuduhan berkenaan dengan mengaitkan namanya. "Bomoh tu apa? Saya tinggal di Subang (Selangor), tidak kenal bomoh-bomoh ni. Lagi pula saya sibuk dengan kerja sekarang. "Saya tidak pasti siapa yang dia tujukan dan mungkin anda kena tanya dia dulu," ujarnya kepada mStar Online. ARTIKEL BERKAITAN: “Banyak Sangat Perompak, Penghukum” - Adam Shahz Fatin mengulas tentang pendedahan yang dibuat oleh pelakon Adam Shahz di Instagram bahawa dirinya pernah disihir oleh bekas isteri. Pelakon Juvana itu pada Rabu mendakwa dia menjumpai beberapa barang pelik di dalam keretanya ketika mereka masih bergelar suami-isteri. Pasangan ini bercerai pada 30 Mei 2017 dengan talak satu. "Yes!!! Saya pernah dibomoh oleh ex-wife saya. Dia cuba perbodohkan saya bila saya tahu kecurangan yang dia lakukan. "Kau tahu kebenaran, kau tahu dosa pahala yang dibuat. Jangan letak kesalahan pada orang lain. Allah SWT maha adil kerana statement bodoh kau cuba malukan keluarga aku," tulisnya di Instastory pada Rabu. Sementara itu, Adam yang dihubungi mStar Online berkata, dia mempunyai bukti kukuh atas segala dakwaan yang dibuat itu. "Saya tidak takut kalau dia ambil tindakan kerana saya ada semua bahan bukti apa yang dilakukan selama ini. Salah satunya dalam gambar yang saya muat naik itu adalah bahan sihir yang saya jumpa dalam kereta," ujarnya. Sementara itu, Adam turut menafikan bahawa dia masih menganggu bekas isterinya itu biarpun selepas lapan bulan berpisah. Adam Shahz Tambahnya, kenyataan yang diberikan oleh Fatin menerusi akhbar mingguan pada Ahad lalu telah mengaibkan diri dan keluarganya. "Dia sudah melampau dan kurang ajar kerana menuduh saya masih menganggu kehidupannya. "Bagi saya itu tidak benar dan perkara itu telah mengaibkan saya dan keluarga," ujarnya. Adam berkahwin dengan Fatin Afeefa pada 21 Disember 2013 dan mempunyai dua cahaya mata Adam Aisy Arrian, 4, dan Ivy Herra Sophia, 2. Pasangan ini bercerai dengan talak satu pada 30 Mei 2017 di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling.