suria

Nikah Dalam Majlis Sederhana, Siti Saerah Temui Jodoh Kawan Lama

Saerah bersama suami dan anak-anaknya.- FOTO Instagram @Rozisangdewi

PETALING JAYA: Adik kepada penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin iaitu Siti Nursaerah sah bergelar isteri kepada pengurusnya, Mohd Sharidan Johari dengan sekali lafaz kira-kira pukul 11 pagi Sabtu.

Pasangan itu disatukan sebagai suami isteri dalam sebuah majlis sederhana yang diadakan di Pusat Antarabangsa Cornerstone, Kuala Lumpur, dekat sini.

Saerah, 34, yang kelihatan anggun dengan persalinan berwarna putih itu menerima mas kahwin berjumlah RM100 daripada Sharidan, manakala wang hantaran dirahsiakan jumlahnya.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Siti Nurhaliza bersama kira-kira 100 ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pihak.

ARTIKEL BERKAITAN: Kawan Lama Kekasih Baharu Siti Saerah

Saerah sah bergelar isteri dengan sekali lafaz.

Majlis kenduri meraikan pasangan itu diadakan pada sebelah petang di lokasi yang sama.

Sementara itu, Sharidan yang dihubungi meluahkan rasa syukur apabila majlis yang dirancang berjalan lancar.

"Alhamdulillah saya selamat bergelar suami dengan sekali lafaz pagi tadi. Perasaannya masih gementar dan pada masa yang sama gembira semuanya berjalan lancar.

"Apa yang paling utama ialah tanggungjawab sebagai suami dalam membimbing isteri dan anak-anak pula selepas ini," ujarnya kepada mStar Online.


Siti Nurhaliza hadir bersama Datuk Khalid.

Saerah mengenali suaminya itu pada 2009, namun hubungan tersebut putus selepas dia berkahwin pada 2010.

Bagaimanapun, menurut Saerah, mereka bertemu semula dan menjalinkan hubungan lebih akrab pada 2016.

"Dia (Shahidan) adalah kekasih dan pemangkin semangat saya dan sebenarnya kami sudah mengenali sejak 2009 namun hubungan itu terputus selepas saya berkahwin.

"Kami kembali bertemu dua tahun lalu dan sejak itu hubungan kami bertambah rapat kerana saya senang dengan sikapnya yang sentiasa menyokong dan sering memberi semangat kepada saya," kata Saerah.

Saerah pernah berkahwin dengan Saiful Anuar Ahmad Shafie, pada 27 Oktober 2010, namun berpisah emat tahun kemudian.

Menerusi perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Ummi Umairah, 6, Ahmad Daiyan, 5, dan Ahmad Aisy, 3 tahun.

Siti Saerah, Siti Nurhaliza

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain