suria

Feeya Iskandar Penyampai Baharu Suria FM

Feeya Iskandar kendalikan segmen Gaya Suria.

PUTRAJAYA: Pengacara Feeya Iskandar menerima tawaran sebagai penyampai radio Suria FM bukan disebabkan tawaran gaji lumayan.

Sebaliknya, Feeya atau lebih dikenali sebagai Cik Piah berkata, keputusan untuk berhijrah ke stesen tersebut disebabkan ingin cabaran baharu dan keluar dari zon selesa.

“Faktor utama saya mengambil keputusan untuk terima tawaran menjadi penyampai radio Suria FM ini disebabkan ingin keluar dari zon selesa. Dah tiba masanya saya mencuba dan melakukan perubahan dengan berhijrah ke radio lain pula.

Bukanlah disebabkan semata-mata tawaran gaji yang lumayan,” kata Cik Piah kepada mStar Online.

Feeya ditemui ketika sidang media pengumuman penyampai baharu Suria FM baru di IOI City Mall, di sini pada Sabtu.

Feeya keluar dari zon selesa.

Dia bakal mengendali segmen Gaya Suria yang membawakan perkongsian mengenai tips kekeluargaan, kesihatan, kewanitaan serta informasi dunia hiburan terkini bermula Isnin depan hingga Jumaat.

Slot bermula pada pukul 10 pagi hingga 1 petang itu menggantikan slot Menu Suria kelolaan Brian.

Cik Piah meninggalkan Sinar FM pada 19 Januari lalu.

Dalam pada itu, Suria FM turut mengadakan siri Jelajah Suria yang menampilkan barisan artis membuat persembahan.

Pengurus Program Suria, DJ Lin, berkata siri jelajah pertama itu akan diadakan di empat lokasi yang berbeza.

“Siri Jelajah Suria kali ini menampilkan barisan artis yang berbeza pada setiap lokasi yang diadakan.

“Untuk siri pertama ini, kami adakan di empat lokasi iaitu Taiping, Putrajaya, Seremban dan Johor Bahru,” ujarnya.

Jelajah Suria itu sudah bermula pada 10 Mac lalu di Taiping Central Mall dan pada hari ini diadakan di IOI City Mall, disini dengan persembahan artis iaitu Elyana, Lan Solo, Ismail Izzani, Syamel, Nizam Laksama dan ramai lagi.

Seterusnya di Mydin Seremban 2 pula pada 24 Mac dan akhir sekali di Mydin Mutiara Rini, Johor Bahru pada 31 Mac ini.  


Feeya Iskandar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain