suria

Elyana Sedih Terpaksa Gugurkan Kandungan

Elyana sedih terpaksa gugurkan kandungan.

PUTRAJAYA: Penyanyi Elyana mendedahkan dia terpaksa menggugurkan kandungannya yang baru berusia dua bulan pada 7 Mac lalu atas faktor kesihatan.

Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal, 31, yang kini menghidap kanser limfoma tahap empat itu berkata, perkara disebabkan dia perlu bergantung kepada pelbagai jenis ubat.

“Sebenarnya 10 hari lalu saya terpaksa menggugurkan kandungan yang sudah berusia dua bulan. Keputusan tersebut terpaksa dilakukan atas sebab keadaan kesihatan saya yang tidak mengizinkan. 

“Tambahan pula sekarang saya perlu makan ubat yang banyak,” kata Elyana kepada mStar Online.

Elyana ditemui ketika Jelajah Suria FM di IOI City Mall, di sini pada Sabtu.

Elyana gugurkan kandungan atas faktor kesihatan.

Dia mengakui sangat bersedih dengan keputusan yang perlu dilakukan memandangkan dia teringin mempunyai anak yang ramai dan pernah keguguran disebabkan hamil luar rahim pada awal 2016.

Penyanyi lagu Tak Tercapai Akalmu ini mengakui bimbang jika bayi yang bakal dilahirkan tidak cukup sihat disebabkan kesan daripada ubat-ubatan berkenaan.

“Saya memang nak sangat anak sebab suka ada anak yang ramai. Sebelum ini pun saya pernah cuba dapatkan anak angkat tapi rezeki tak ada.

“Tiba-tiba dapat tahu hamil tapi terpaksa gugurkan. Saya sangat sedih sebab memang nak sangat anak. Sebelum ini pernah gugur tapi disebabkan hamil luar rahim.

“Kalau kanser saya ini masih peringkat awal mungkin saya boleh kuat tapi peringkat sekarang takut nanti bayi lahir tidak cukup sihat.

Tambah Elyana, sebelum membuat keputusan untuk gugurkan kandungan, dia ada bertanya terlebih dahulu kepada ustaz mengenai perkara itu.

“Saya ada tanya pendapat ustaz juga mengenai perkara ini dan dia beritahu jika dah memudaratkan kesihatan, memang perlu lakukan proses gugurkan,” katanya.

Sebelum ini, Elyana mengejutkan peminatnya apabila mengumumkan dia menghidap kanser tahap empat ketika membuat ucapan selepas tersingkir daripada meneruskan pertandingan program Gegar Vaganza.

Elyana berkata, dia disahkan menghidap kanser limfoma sejak tujuh tahun lalu.

Elyana

Artikel Lain