suria

Keluarga Kecewa Foto Anak Siti Nurhaliza Disebarkan Sebelum Waktu

Siti Nurhaliza selamat bersalin secara pembedahan pada pagi Isnin. Foto Instagram @rozisangdewi

PETALING JAYA: Penyebaran gambar bayi comel anak Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin beberapa jam selepas penyanyi itu bersalin ternyata menimbulkan rasa kurang senang keluarga artis berkenaan.

Pengurus Siti Nurhaliza, 39, iaitu Rozi Razak seterusnya meminta agar semua pihak menghormati privasi penyanyi tersebut dan suaminya Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa yang semenangnya mempunyai perancangan untuk berkongsi sendiri tentang perkembangan anak mereka.

Rozi berkata, Siti dan suaminya sudah berjanji untuk berkongsi perkara berkaitan anaknya itu apabila sampai hari dan masa yang sesuai.

ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nurhaliza Akhirnya Bergelar Ibu, Selamat Lahirkan Bayi Perempuan

"Sebagai menghormati Siti dan suaminya, saya rasa kita yakinlah dengan apa yang mereka sudah katakan, akan tiba hari dan masanya.

"Maaf kepada yang bertanya kerana saya memilih untuk menghormati Siti dan suami," ujarnya kepada mStar Online.

Comel betul anak Siti Nurhaliza persis ibunya. Inilah gambar yang tesebar selepas beberapa jam Siti melahirkan bayinya.

Rozi mengulas tentang foto yang didakwa milik anak perempuan penyanyi kesayangan ramai itu yang baharu dilahirkan pada pagi Isnin.

Sementara itu, Rozi menerusi Instagramnya meminta agar orang ramai menghormati masa, ruang, hak dan kepercayaan yang diberikan oleh penyanyi itu.

"Sewaktu seseorang hanya meminta sekadar menghormati, kita teladani dengan baik dan sabar kerana tidak semua juara itu menang.

"Terkadang yang terakhir bisa menjadi muktakhir. Menghormati masa ruang, hak, privasi dan kepercayaan. Bukan tentang benar, salah, sahih, tidak tetapi dengan menghormati dengan sedikit masa," tulisnya.

Siti Nurhaliza bergelar seorang ibu selepas melahirkan bayi perempuan di sebuah pusat perubatan di ibu kota pada pagi Isnin.

Penyanyi Segala Perasaan itu melahirkan bayi dengan berat 3.55 kilogram kira-kira pukul 8.17 pagi secara pembedahan.

Untuk tempoh seminggu ini bayi berkenaan dipanggil Fatimah Az-Zahra sebelum namanya diumumkan secara rasmi.

Ia anak pertama Siti selepas 11 tahun mendirikan rumah tangga.

Siti Nurhaliza

Artikel Lain