PENYANYI Aiman Tino berkongsi berita sedih apabila seorang peminat setianya meninggal dunia pada pagi Isnin selepas dua hari dia menziarahi gadis berusia 15 tahun itu. Aiman menerusi Instagramnya memaklumkan Allahyarham Farah Alwani menghembuskan nafas yang terakhir selepas menderita penyakit lekumia sejak beberapa tahun lalu. "Innalillahiwainnailaihirajiun . Minta Sama-sama sedekahkan Al-fatihah buat Adik Farah Alwani yang baru sahaja kembali ke Rahmatullah Pagi tadi. Takziah juga buat Keluarga arwah. Tuhan lebih Menyayanginya. Semoga tenang disana adik. Amin," tulisnya. Dua hari lalu, Aiman pernah memuat naik gambar menziarahi arwah yang dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Cheras. "Alhamdulillah . Berkesempatan juga melawat adik Farah Alwani di HUKM Cheras tadi , umur 15 tahun. "Adik Farah Alwani mengidap penyakit Relapsed Acute Myeloid Leukaemia. Kami doakan semoga asik Farah cepat sembuh seperti sediakala. Minta semua doakan adik Farah," tulisnya pada kapsyen gambar bersama Allahyarham. Aiman memuat naik foto terakhir bersama adik Farah. Sementara itu, Aiman ketika dihubungi memberitahu dia sempat meluangkan masa hampir sejam bersama Allahyarham selepas dia mendapat panggilan daripada pihak hospital berhubung hasrat Farah untuk bertemu dengannya. Kata Aiman, selepas mendapat panggilan tersebut dia bergegas ke hospital dan bersyukur kerana diberi kesempatan untuk merialisasikan hasrat terakhir Allahyarham. "Ketika saya datang menziarah, Allahyarham berada dalam keadaan lemah tetapi masih mampu tersenyum melihat kehadiran saya. "Selain memberikan kata-kata semangat kepadanya saya juga turut memberi album saya selain cenderahati lain untuk menggembirakan hatinya. "Syukur saya dapat merialisasikan impiannya dan ternyata Allah lebih sayangkannya. Semoga Allahyarham ditinggikan darjatnya dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman," katanya. Salah seorang pegikut Aiman di Instagram, @Ian_iezaadik mengucapkan terima kasih kepada Aiman yang telah memenuhi permintaan terakhir Farah yang ingin bertemu dengan penyanyi kesayangannya itu. "Farah Alwani baru je menghembuskan nafasnya jam 9.55 pagi tadi. Terima kasih @official_aimantino dapat memenuhi permintaan terakhir adik Farah Alwani. semoga Allah jua yg membalas jasamu dik," tulisnya.