suria

Fasha Tidak Hirau Dikritik Gara-Gara Gambar Seksi Nampak Dada

Fasha Sandha enggan melayan kata-kata negatif dilemparkan netizen terhadapnya. Foto SHAARI CHE MAT

TINDAKAN Fasha Sandha memuat naik gambarnya di Instagram memakai pakaian tradisi masyarakat India iaitu lenga ketika menghadiri majlis berinai pelakon Elvina Mohamad baru-baru ini menyebabkan dia menjadi sasaran netizen.

Ramai merasakan penampilan Fasha, 34, agak keterlaluan ekoran bahagian dada pakaian itu dilihat terdedah dan ia tidak sesuai dengan imejnya sebagai ibu kepada dua cahaya mata.

Malah rata-rata meminta pelakon drama rantaian Syurga Yang Kedua itu memadam foto berkenaan daripada Instagramnya.

Gambar yang menjadi pertikaian dalam kalangan netizen.

Bagaimanapun tuan empunya badan merasakan tiada sebarang keperluan untuknya dia berbuat demikian malah tidak merasakan foto itu telah mengundang kontroversi.

"Saya tidak tahu pula ramai yang mengecam kerana tidak membaca ruangan komen. Tetapi saya tidak akan memadam gambar tersebut.

"Apa orang hendak cakap, cakaplah. Ia tidak memberi kesan kepada saya pun. Ruangan komen pun saya tidak tutup," katanya.

Fasha ditemui pada majlis tayangan episod akhir drama rantaian Syurga Yang Kedua anjuran kelab peminatnya iaitu WeLoveFashaSandha Fan Club dan Elizad Team Fan Club yang diadakan pada petang Isnin.

Peminat yang hadir ke majlis tayangan episod akhir Syurga Yang Kedua.

Menjelaskan situasi sebenar, Fasha berkata, gambar tersebut kelihatan seksi mungkin disebabkan kedudukan kamera ketika jurugambar merakamkan gambar itu.

Sementara itu, Fasha berkata, dia terharu dengan sokongan dan usaha peminatnya yang gigih mengadakan majlis tayangan episod akhir Syurga Yang Kedua.

Kata Fasha, peminat adalah tulang belakangnya dan tindakan mereka sanggup meluangkan masa, wang dan tenaga bagi mengadakan majlis seumpama itu menyentuh hatinya.

"Apa yang membuatkan saya terharu, mereka menggunakan wang dan tenaga mereka untuk mengadakan majlis pada hari ini.

Antara selebriti yang turut hadir.

"Sepuluh tahun mereka setia bersama saya dan seronoknya rasanya apabila dapat peminat seperti mereka yang sering menghargai saya sebagai pelakon," katanya.

Malah kata Fasha, gabungan di antara kelab peminatnya dan aktres Siti Elizad bagi menjayakan acara itu membuktikan peminat mampu bermuafakat dalam memeriahkan lagi sesuatu acara.

Selain menonton episod akhir Syurga Yang Kedua, peminat juga sempat mengadakan beberapa aktiviti bersama Fasha dan Elizad.

Fasha Sandha, Syurga Yang Kedua

Artikel Lain