suria

“Jangan Paksa Saya Ambil Tindakan” - Syamsul Yusof Berang Difitnah

Syamsul mendedahkan ada pihak tidak bertanggungjawab mewujudkan akaun Facebook palsu menggunakan namanya bagi membuat kenyataan berhubung hal berkaitan politik.

PENGARAH Syamsul Yusof berang apabila ada pihak tidak bertanggungjawab mewujudkan akaun Facebook palsu menggunakan namanya bagi membuat kenyataan berhubung hal berkaitan politik.

Syamsul menerusi Instagramnya meminta agar peminat tidak mudah percaya dengan fitnah yang mengaitkan namanya dengan isu politik kerana ia sama sekali tidak benar.

Jelasnya lagi, ia bukan kali pertama ada pihak yang menggunakan namanya bagi tujuan tertentu di laman sosial itu.

"Sekali lagi nama saya disalahguna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di Facebook. Sebelum ini pun dah banyak kali dah, kali ini guna akaun palsu atas nama saya untuk buat kenyataan politik pula.

Syamsul membuat penjelasan di Instagram.

"Anda jangan mudah percaya dengan fitnah yang mengaitkan nama saya ni dalam isu politik atau apa sahaja. Jangan mudah percaya sebab ramai buat akaun palsu Syamsul Yusof.

Dalam pada itu, Syamsul berkata dia tidak mempunyai sebarang akaun Facebook peribadi sebaliknya hanya memiliki akaun peminat yang diuruskan oleh orang lain.

"Saya tiada langsung akaun Facebook peribadi. Saya cuma ada Facebook untuk peminat sahaja. Itu pun admin yang jaga. Jadi berhati-hati selepas ini," katanya.

Sementara itu, Syamsul berkata, dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya isu ini berterusan.

"Jangan paksa saya untuk ambil tindakan undang-undang. Berhenti menyamar, salah guna nama saya di media sosial," tulisnya lagi.

Syamsul Yusof

Artikel Lain