suria

Siti Nurhaliza Akhirnya Bergelar Ibu, Selamat Lahirkan Bayi Perempuan

Datuk Seri Siti Nurhaliza selamat melahirkan bayi perempuan pada Isnin.

PETALING JAYA: Permata hati negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza akhirnya bergelar seorang ibu selepas beliau melahirkan bayi perempuan di sebuah pusat perubatan di ibu kota pada Isnin.

Siti dan suaminya Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa memilih hari Isnin bagi menyambut kelahiran anak pertama mereka yang mana ia hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad selain bersamaan 1 Rejab dalam kalender Islam.

Pengurus Siti iaitu Rozi Razak dalam satu kenyataan media berkata, Siti melahirkan bayinya itu dengan berat 3.55 kilogram kira-kira pukul 8.17 pagi secara pembedahan.

“Beliau melahirkan bayi seberat 3.55 kilogram itu secara pembedahan. Siti dan bayi dalam keadaan baik dan buat masa ini hanya membenarkan kaum keluarga terdekat sahaja melawat.

Datuk K mencium dahi Siti. Foto Instagram @ctdk

ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nurhaliza Buka Rahsia Hamil 4 Bulan

“Suami beliau, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa melahirkan rasa syukur kerana segalanya telah selamat,” kata Rozi.

Dalam kesempatan itu Siti dan suaminya juga ingin mengucapkan terima kasih atas doa dan sokongan daripada keluarga, rakan, peminat serta pihak media.

Penyanyi yang berasal dari Pahang ini juga meminta untuk diberikan ruang dan masa untuk berkongsi  wajah dan nama anak kerana buat masa ini beliau ingin menumpukan perhatian kepada hari-hari awal bergelar ibu.

“Buat masa ini Siti mahu diberi ruang untuk berehat dan menumpukan perhatian pada hari-hari awal bergelar ibu.

Siti Nurhaliza ketika hamil empat bulan.

“Mengenai wajah dan nama anak, Siti dan Khalid meminta diberi sedikit masa sebelum mengumumkannya,” kata Rozi.

Siti dan Datuk K berkahwin pada 21 Ogos 2006 dan pada 13 Oktober tahun lalu, penyanyi lagu Percayalah ini mengumumkan sedang hamil anak pertamanya.

Pada 1 Disember 2015, Siti Nurhaliza pernah berkongsi rasa sedihnya dengan peminat selepas dia mengalami keguguran yang ketika itu baru berusia dua bulan.

Kehadiran anak perempuan pasangan itu menjadi penyeri dalam keluarga Siti dan Datuk K kerana menerusi perkahwinan terdahulu, Datuk K mempunyai empat orang anak, kesemuanya lelaki.

Siti Nurhaliza

Artikel Lain