PENYANYI Lan Solo dan isteri, Nur Sheila Hassim bersepakat untuk melakukan pembedahan bibir anak keempatnya, Nur Amna Quxandra yang mengalami sumbing. Lan atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusuf, 33, berkata dia bertanya pendapat ramai pihak termasuk doktor mengenai perkara itu sebelum membuat keputusan. Namun, menurut doktor pakar anaknya itu boleh melalui proses pembedahan apabila berat badan mencecah lima kilogram ke atas. "Saya dan isteri sudah berbincang dan bersetuju untuk melakukan pembedahan bibir anak keempat kami. "Sebelum kami membuat keputusan ini, kami ada bertanya pendapat ramai pihak termasuk keluarga dan doktor pakar. "Insya-Allah kata doktor, Quxandra boleh jalani pembedahan apabila beratnya lima kilogram ke atas," kata Lan kepada mStar Online. ARTIKEL BERKAITAN: Alami Sumbing Pembawa Rezeki, Nur Amna Quxandra Anak Lan Solo Keluarga bahagia Lan Solo. Lan ditemui ketika konsert Jelajah Suria di IOI City Mall, Putrajaya, pada Sabtu lalu. Tambah Lan, anak perempuannya itu semakin sihat dan pembedahan itu akan dilakukan dalam masa dua bulan lagi. "Alhamdulillah, anak saya semakin sihat. Kalau tengok pipi dia pun dah nak semangat. "Buat masa kini, berat dia 2.7 kilogram. Mungkin dalam dua bulan dari sekarang dia boleh lakukan pembedahan itu. "Lagipun doktor ada beritahu yang bibirnya sumbing tidak terlalu teruk. Hanya sedikit sahaja," ujarnya. Dalam pada itu, bekas vokalis kumpulan Kristal ini memberitahu anak-anaknya yang lain pernah bertanya mengenai bibir Quxandra. Lan solo. Kata Lan, dia dan isteri hanya memberi jawapan yang sama iaitu adik mereka sedang sakit mulut dan akan menerima rawatan tidak lama lagi. "Anak-anak saya yang lain pernah bertanya mengenai bibir adiknya itu. Mereka berasa hairan. "Jadi saya dan isteri hanya memberi jawapan yang sama iaitu adik sakit mulut dan akan dirawat supaya jadi baik. "Mereka pun memahami dan apabila kawan-kawan lain tanya, mereka akan jawab seperti itu," katanya. Isteri Lan melahirkan bayi keempat mereka pada 24 Februari lalu di Pusat Perubatan Rampai Puteri, Kuala Lumpur. Lan dan Sheila, 32, berkahwin pada 6 Disember 2009. Selain bayi yang baharu dilahirkan mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata lain iaitu Nur Amna Qaleesya, 6, Nur Amna Qeesyara, 4 dan Muhammad Akid Qassyaff, 3.