KUALA LUMPUR: Pelakon Datin Elvina Mohamad masih belum ada perancangan untuk berbulan madu memandangkan jadualnya terlalu sibuk dan tidak ada waktu yang bersesuai. Elvina atau nama sebenarnya Norzalina Mohamad, 23, berkata dia akan menjalani penggambaran selepas majlis resepsi diadakan pada 24 Mac ini. “Buat masa sekarang saya dan suami tidak ada lagi perancangan untuk berbulan madu. Lokasi pun tak tahu lagi nak pergi mana. “Jadual saya sibuk dan dia pun sama. Selepas majlis resepsi yang akan diadakan minggu hadapan ini hanya lima hari sahaja saya cuti. “Selepas itu, saya dah mula masuk set penggambaran. Belum ada masa yang sesuai untuk bercuti,” kata Elvina kepada mStar Online. Manisnya Elvina. Elvina ditemui selepas majlis pernikahannya dengan usahawan muda Datuk Mohd Haniff Borhan yang berlangsung pada Ahad di Hotel Royale Chulan, di sini. Dalam pada itu, pelakon drama Shh... I love You ini juga berserah kepada rezeki Allah dan tiada sebarang perancangan untuk zuriat. “Bab anak pula, kami memang tidak letak apa-apa perancangan juga. Berserah pada rezeki yang Allah beri. “Kalau ditakdirkan saya dapat anak awal, Alhamdulillah. Kami memang tak rancangan untuk mempunyai berapa orang zuriat,” ujarnya. Sama cantik sama padan. Elvina dan Haniff, 32 dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah Masjid Asy Syakirin KLCC, Mohd Radhi Abdul Ghani dan disaksikan oleh keluarga kedua-dua belah pihak. Manakala majlis resepsi akan diadakan pada 24 Mac ini di lokasi yang sama. Pasangan itu berkenalan sekitar dua tahun lalu dan mulai rapat sejak setahun lepas sebelum membuat keputusan untuk ke jenjang pelamin kira-kira tiga bulan lalu.