suria

Ular Tidak Boleh Dibawa Bersiar, Sentuh Sesuka Hati - Dwan Hamid

Dwan mula ceburi bidang persembahan ular secara serius sejak lima tahun lalu.

SELEBRITI ular Malaysia, Dwan Hamid berkata, sifat sesekor ular tedung ialah gemar menyerang dengan mematuk walaupun ia dipelihara seseorang khususnya mereka yang gemar bermain dengan haiwan berbisa itu.

Dwan atau nama sebenarnya Muhammad Ridzuwan Shahul Hamid, 26, berkata, dia pernah melalui pengalaman nyaris dipatuk reptilia itu ketika membuat persembahan setahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga Ular Sawa 'Rakan Bilik' Pelakon Dwan

ARTIKEL BERKAITAN: Wira Penyelamat, Penjinak Ular Meninggal Dunia

Kata Dwan, perlu memberi fokus sepenuhnya ketika memegang ular tedung atau tedung selar.

"Dalam sebuah pertunjukan yang saya buat, ular tedung selar mahu mematuk saya namun saya terselamat kerana dapat mengelak. Kadang-kala kita tak dapat agak bila dia mahu menyerang walaupun terhadap tuannya," kata Dwan.

Menurut Dwan, antara petua dilakukannya ialah dia tidak akan bermain atau mengeluarkan ular tedung perliharannya jika tiada persembahan yang perlu dilakukan.

Dalam erti kata lain apa jua jenis ular ia tidak boleh dibawa untuk bersiar-siar walaupun ia ular sawa berbanding haiwan-haiwan peliharaan lain.

Malah mengendalikan ular peliharaan itu, dia harus berhati-hati dan tidak pernah membenarkan sesiapa untuk menyentuhnya.

"Saya tak akan bermain atau keluarkan ular tedung jika tidak ada persembahan yang perlu dilakukan.

"Hanya akan dikeluarkan waktu bekerja sahaja. Perlu berhati-hati menjaga ular ini. Malah, saya tak pernah benarkan sesiapa sentuh.

Antara ular sawa yang dibela sejak kecil.

"Kalau kawan-kawan atau sesiapa nak tengok hanya waktu persembahan sahaja," ujarnya.

Pelakon drama Tanah Kubur dan filem Dollah Superstar ini memperoleh sumber pendapatan sampingannya menerusi undangan mengadakan pertunjukan ular di seluruh negara sejak lima tahun lalu.

Dwan mempunyai beberapa ekor ular sawa yang dibela dan ular tedung serta tedung selar yang ditempatkan di rumah sifunya, Amjad Khan yang juga anak kepada Raja Ular Malaysia, Allahyarham Ali Khan Samsuddin.

Selain karier sebagai 'pelakon ular', Dwan juga akan melancarkan minyak wangi jenamanya, DH Perfume tidak lama lagi.

Dalam pada itu Dwan berkata dia turut bersedih atas kehilangan anggota bomba dan penyelamat Temerloh, Abu Zarin Hussin yang meninggal dunia pada 16 Mac lalu selepas kritikal akibat dipatuk ular tedung selar pada 12 Mac lalu.

"Saya turut bersedih dengan berita mengenai arwah Abu Zarin yang meninggal dunia akibat dipatuk ular tedung selar.

"Walaupun tidak pernah mengenalinya secara dekat tapi saya ada juga tonton beberapa video aksinya bersama ular.

"Saya tahu bagaimana perasaan dipatuk ular tedung kerana saya sendiri pernah hampir dipatuk di pipi ketika membuat persembahan," kata Dwan.

Dalam pada itu Dwan berkongsi pengetahuannya mengenai ular

1. Ular agresif 24 jam. Lihatlah matanya sentiasa terbuka.

2. Jika hendak sentuh ular peliharaan, ia perlu perlahan-lahan. Jangan bagi dia terkejut ataupun sakit kerana dia akan bertindak balas.

3. Sekiranya kita nampak ular, jangan sesekali memukulnya jika tiada kemahiran sebaliknya perlu menghubungi pihak yang pakar seperti ahli Bomba. Ia disebabkan ular itu akan menyerang orang yang memukulnya.

4. Jika seseorang kena patuk, terus ke hospital dan bukannya di klinik. Hanya di hospital sahaja menyimpan vaksin menghapus bisa ular.

5. Bagi saya, sebelum bermain dengan ular saya akan ambil wuduk dan membaca beberapa surah lazim.

Dwan Hamid

Artikel Lain