ENGGAN digelar sebagai anak derhaka, penyanyi Haikal Azman akur dengan kehendak keluarga supaya dia memutuskan hubungan cintanya bersama seorang penyanyi wanita. Haikal atau Muhammad Mukhlis Haikal Azman, 20, berkata, ibu-bapa dan kakaknya memohon agar dia memberikan komitmen penuh terhadap kerjayanya yang baru setahun jagung. "Keluarga bukannya tak suka saya bercinta. Cuma mereka tak mahu saya terbawa-bawa pasal hubungan ini sehingga tidak fokus terhadap kerjaya. "Demi masa depan, saya ikut sahaja nasihat mereka. Saya sayangkan keluarga dan saya pun tak mahu jadi anak derhaka," katanya kepada mStar Online. ARTIKEL BERKAITAN: Wang Haji Ibu Lesap Ditipu Artis - Haikal Azman Jelas Haikal, walaupun berat hati untuk membuat keputusan itu, dia reda jika itu yang terbaik buat dirinya. Haikal tampil dengan lagu Kenangan Cinta. Disoal mengenai bekas teman wanitanya, dia berkata, penyanyi itu yang dikenalinya lebih setahun lalu faham dengan apa yang berlaku. "Dia juga penyanyi, jadi dia faham situasi ini. Iyalah, sekarang ni fasa untuk mengukuhkan tapak dalam industri seni. "Nanti jika kerjaya saya dah stabil dan jodoh masih kuat, tidak mustahil jika kami kembali bersama," ujarnya lagi. Dalam pada itu, Haikal menzahirkan rasa syukur apabila single sulungnya yang berjudul Kenangan Cinta mendapat sambutan hangat di aplikasi penstriman muzik, Joox. Atas kejayaan itu, dia mengeluarkan video eksklusif Kenangan Cinta yang hanya boleh ditonton di aplikasi itu. "Video eksklusif itu khusus untuk peminat yang banyak menyokong saya. Ia baru sahaja dilancarkan pada 7 Mac lalu, dalam masa seminggu sahaja ia sudah ditonton lebih 40 ribu kali. "Ia satu pencapaian yang agak besar sebab pengguna Joox tidak seramai penonton di laman YouTube," katanya. Dia juga kini giat dalam proses untuk menghasilkan single keduanya yang bakal dilancarkan pada tahun ini. Kata Haikal, dia berharap agar pertaruhan terbaharunya itu bukan sahaja akan mengulangi pencapaian single Kenangan Cinta, malah akan menaikkan lagi namanya sebaris dengan penyanyi lain.