PETALING JAYA: Pelakon Zara Zya menyifatkan kerjaya seorang artis atau selebriti mendedahkan diri mereka untuk terpalit dengan tuduhan sombong. Zara Zya atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 32, berkata mereka juga manusia biasa yang mempunyai perasaan dan masalah peribadi sama seperti orang lain. "Sombong... perkataan yang sinonim keluar dari mulut netizen. Artis tu sombong, artis ni sombong. "Apa yang boleh saya katakan, kami pun manusia. Ada perasaan... perasaan sebagai seorang manusia. Manusia kan ada berbagai rasa. Sedih, gembira, marah, bermasalah, penat. Macam-macam tau tak?" ujarnya. Tambah pelakon drama Mona Lisa ini, kerjaya sebagai selebriti menyebabkan seseorang itu tidak dapat lari daripada tekanan perasaan. Status yang dimuat naik Zara Zya tentang kehidupan sebagai seorang artis. Katanya, dia perlu sentiasa senyum dan menghiburkan orang lain biarpun berhadapan dengan masalah peribadi. "Selain badut, selebritilah manusia yang paling kuat dapat tekanan perasaan tau. Waktu kami bekerja, walaupun gundah, kami tetap senyum hiburkan orang lain. "Bekerja keras nampak mewah tapi hakikatnya bukan senang," ujarnya. Selain itu, Zara meminta agar masyarakat dan netizen tidak mudah menghukum seseorang artis terutama yang tidak dikenali secara dekat. "Janganla hukum kami semudah sebut abc. Semua manusia sama yang membezakan ialah hati kita sendiri. "Kadang-kadang apa yang nampak depan mata pun kita boleh salah tafsir. Apatah lagi kalau dengar dari mulut orang lain," katanya. Dalam perkembangan lain, Zara baharu sahaja keluar dengan single pertama berjudul Tiada Dendam. Lagu berkenaan merupakan ciptaan Liuney nur dan Fauzi Aisunam dan kini boleh didengar di semua platform digital. "Lagu ini saya hadiahkan supaya semua orang jadi positif. Walau apa pun jadi, tetap kena kuat. Mesti ada hikmah. Ia juga hadiah buat peminat-peminat saya," ujarnya.