SHARIFAH Shahira mendedahkan sebelum bergelar penyampai radio Suria FM dia tidak pernah mengetahui mengenai peraturan di sesebuah pejabat kerana sudah terbiasa bekerja tanpa pengawasan sebagai pelakon sebelum ini. Berkongsi pengalaman lucunya, Shiera berkata, dia pernah tidak hadir ke pejabat tanpa memohon cuti atau memaklumkan kepada pihak pengurusannya sehingga menyebabkan dia ditegur. "Jujur, saya memang tidak tahu kalau hendak cuti kita perlu memohon cuti atau mengisi borang sehinggalah kejadian saya tidak datang ke pejabat sebab hendak ke luar negara. "Sebelum ini mana pernah saya bekerja di pejabat atau mempunyai bos sebab dalam dunia lakonan mana ada isi borang semua itu, jadi saya ingat sama. "Apa pun ia pengajaran dan pengalaman baru yang sangat berguna dan bermanfaat kepada saya," ujarnnya. Dalam pada itu, Shiera berkata, dia tidak mempunyai masalah bangun awal untuk ke pejabat kerana dia sudah biasa bangun pagi. Shiera bersama Fizi dan Zulin. "Bila sudah berusia ni, tidur semakin kurang walaupun malam sebelumnya saya ada penggambaran tetapi memang tiada masalah hendak bangun pagi. "Kebiasaannya dari pukul 5 ke 10 pagi memang saya berjaga jadi tiada masalah," katanya. Malah katanya, dia seronok dengan tugasnya kerana ia sesuai dengan karakter dirinya yang gemar bercakap. "Alhamdulillah seronok kerana dapat membebel setiap pagi dari Isnin hingga Jumaat. "Apabila kita buat sesuatu yang kita suka, ia jadi menyeronokkan dan tidak terbeban dan Alhamdulillah saya dapat bergandingan dengan Zulin dan Fizi yang sentiasa menggamatkan studio setiap pagi. Shiera ke udara menerusi segmen Suria Pagi bersama Zulin Aziz dan Fizi Ali pada setiap Isnin hingga Jumaat dari pukul 5 hingga 10 pagi.