suria

Kerana ‘Dukun’ Maka ‘Qhaliq’ dijangka masuk panggung Aidilfitri

Ahmad Idham (dari kanan) bersama Penerbit Eksekutif Qhaliq, Hafiz Fauzi, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Khirudin Drahman @ Husaini (tengah) dan dua pegawai jabatan itu pada sidang media yang diadakan pada Khamis.

KUALA LUMPUR: Pengarah filem Ahmad Idham menyasarkan filem Qhaliq akan kembali masuk panggung selewat-lewatnya pada Jun depan bersempena sambutan Aidilfitri selepas mengambil keputusan menarik balik tayangan yang sepatutnya bermula Khamis (hari ini).

Idham bagaimanapun berkata, pihaknya akan duduk berbincang dengan pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) bagi mempertimbangkan untuk mempercepatkan tarikh Qhaliq seawal minggu terakhir bulan ini sekiranya tiada filem tempatan lain dijadualkan dalam senarai wajib tayang.

“Jika diikutkan selepas menarik keluar Qhaliq yang sepatutnya ditayangkan hari ini (5 April) kita perlu menunggu sekurang-kurangnya enam bulan sebelum ia boleh disenaraikan untuk tayangan.

“Tetapi kita akan berbincang dengan Finas bagi mendapat kelonggaran memandangkan keputusan kami menarik diri kerana ingin beri laluan kepada Dukun dan bukannya sebab perkara lain.

“Kami menyasarkan pada Aidilfitri tetapi kalau ada slot kosong pada minggu ketiga atau terakhir bulan ini kami harap Finas dapat beri kelonggaran itu kepada filem ini,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Idham Tangguh Tayangan ‘Qhaliq’ Kerana ‘Dukun’

Idham ditemui pada sidang media mengenai penarikan Qhaliq di pawagam yang diadakan pada petang Khamis.

Selain Idham turut hadir pada sidang media itu ialah penerbit eksekutif Qhaliq, Hafiz Fauzi dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Khirudin Drahman @ Husaini.

Hairul Azreen memegang watak Qhaliq

Dalam pada itu, Idham berkata, penarikan filem itu dari pawagam sedikit sebanyak meninggalkan kesan memandangkan mereka sudah mengeluarkan kos yang tinggi bagi tujuan promosi.

Bagaimanapun kata Idham, mereka menyifatkan perkara itu sebagai lumrah dalam perniagaan dan paling penting tindakan itu dilakukan kerana ingin memberi ruang kepada Dukun yang sudah 12 tahun terperap.

“Kerugian setakat ini masih terkawal dan ini kami anggap sebagai lumrah tetapi kami percaya ini berlaku kerana ada sebab tertentu.

“Kalau kami diberitahu awal pun mengenai ada filem lain yang akan ditayangkan tarikh sama dengan Qhaliq kami mungkin akan buat keputusan sama.

“Apa paling penting sekarang harap perkara ini tidak berulang pada masa hadapan,” jelasnya.

Sementara itu, Idham berkata, pihaknya akan meneruskan aktiviti kempen filem tersebut sehingga ia ditayangkan di pawagam.

“Ini adalah filem komuniti tentang anggota bomba yang banyak jasa mereka dalam masyarakat. Itu yang ingin kami ketengahkan tentang jasa bomba yang jarang diketengahkan kepada masyarakat.

“Aktiviti kempen dan promosi tetap akan berjalan sehinggalah ia ditayangkan,” katanya.

Filem Qhaliq mengisahkan kehidupan anggota bomba yang berdepan pilihan antara cinta dan kerjaya.

Ia diterajui oleh Hairul Azreen, Risteena Munim, Aliff Yasraf, Noralbaniah dan Azza Elite.

Qhaliq, Ahmad Idham

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain