PENYANYI Salma Asis berharap suaminya Azri Abdullah (AF9) dijatuhkan hukuman penjara selama 14 hari tabah dan dikuatkan hati berhadapan dengan ujian Allah. Salma, 27, menerusi luahan di laman Instagram menyifatkan dugaan yang dilalui oleh keluargaanya itu begitu besar. "Semoga suamiku tabah dan dikuatkan hatinya...Allah sayang keluarga kami sebab tu kami diuji sebegini, besar ujianmu ya Allah," ujarnya. Luahan itu mendapat perhatian netizen yang sedih dengan situasi yang sedang dilalui Salma serta keluarganya. Rata-rata pengikut laman sosial penyanyi itu memberi kata-kata semangat agar wanita berkenaan cekal berhadapan ujian itu. Bekas peserta Akademi Fantasia musim ke-9, Azri dipenjara selama 14 hari dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat. ARTIKEL BERKAITAN:“Nanti orang pukul... jangan pergi!” Ibu meraung Azri (AF9) dipenjara cederakan anak tiri Salma bersama suami dan anak-anaknya. Azri atau nama sebenarnya Mohammad Azri Abdullah dituduh mencelup kedua-dua tangan anak perempuan tirinya di dalam air panas sehingga dimasukkan ke wad selama 19 hari selepas mengalami kecederaan yang serius. Hakim Norshila Datuk Kamaruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Azri, 31, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah pada hari pertama perbicaraan kesnya pada Khamis. Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula Jumaat dan turut memerintahkan lelaki itu dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda. Sementara itu, Salma berkata, pengakuan bersalah yang dibuat oleh suaminya itu tidak berarti dia benar-benar melakukan jenayah itu. Kata Salma, sebagai isteri dia lebih mengenali peribadi penyanyi berkenaan. "Allah sebaik baik perancang, mengaku tidak semestinya bersalah, kami sekeluarga lebih mengenalinya," katanya. Azri mengaku bersalah mencederakan anak perempuan tirinya. Foto Instagram: @azri_af9. Penyanyi lagu Akhirnya Cinta itu turut meminta netizen tidak membuat andaian dan spekulasi sendiri yang boleh menimbulkan fitnah. "Sebelom ada komen yg tidak baik selepas ini, saya minta jasa semua lebih baik berdiam jangan buat andaian atau spekulasi yang boleh membawa fitnah dosa tanggung sendiri. "Saya tidak akan segan-segan untuk sekat jika anda memburukkan lagi keadaan kami sekeluarga," katanya. Azri didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya. Mengikut fakta kes, ketika kejadian mangsa yang ketika itu berumur sembilan tahun tidak mengaku mengambil coklat menyebabkan tertuduh mengambil sebuah periuk yang berisi air panas dan mencelup kedua-dua belah tangan anak tirinya itu. Kejadian tersebut berlaku di sebuah pangsapuri di Seksyen 9, Subang Jaya, pada 8 pagi, 5 Mei 2016. Azri dan Salma berkahwin pada 31 Jan 2015 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan. Salma juga mempunyai dua anak iaitu mangsa dan seorang anak lelaki menerusi perkahwinan terdahulu.