suria

Sibuk ‘reunion’, anak terbunuh pun tak tahu

Antara adegan 'Waktu Khalil'.

GARA-GARA terlalu taksub dengan media sosial, seorang ibu tidak sedar anaknya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya sebaliknya sekadar menyedari perkara itu selepas ia tular di media sosial.

Ibu berkenaan iaitu Atie yang mempunyai dua orang anak iaitu Khalil, 10, dan Kayla, 5, tidak menduga kekecohan orang ramai yang menyebarkan wajah kanak-kanak lelaki terbunuh menerusi perkongsian gambar di media sosial ialah anaknya.

“Atie terlalu sibuk dengan aktiviti reunion bersama kawan-kawan dan tidak memperdulikan keluarga sehinggalah anak lelakinya sendiri kemalangan pun dia tak tahu.

Barisan pelakon 'Waktu Khalil ' arahan Shuhaimi Lua.

“Dia hanya sedar selepas kejadian tu menjadi viral. Itupun menerusi perkongsian mesej kumpulan WhatsApp rakan-rakan,” kata Shuhaimi Lua Abdullah mengenai drama Waktu Khalil arahannya yang akan disairkan menerusi slot cerekarama, TV3 pada malam Sabtu (malam ini).

Shuhaimi berkata, drama itu adalah sindirannya kepada masyarakat hari ini yang terlalu mementingkan media sosial sehingga mengabaikan peranan dalam keluarga.

Ujarnya, telefilem hasil skrip tulisan Sofia J Rhyland itu dibikin penuh penghayatan untuk membolehkan penonton mendapat pengajaran dariapda tema kekeluargaan yang cuba disampaikan.

Danish Hazriq memegang watak Khalil.

“Ia sebuah drama berat yang mempunyai makna tersendiri dan perlu dihayati oleh orang ramai kerana jalan ceritanya berkisar tentang kehidupan masa kini,” ujarnya.

Drama yang akan disiarkan pada pukul 9 malam itu membariskan pelakon antaranya Kamal Adli (memegang watak Wan), adik Danish Hazriq (Khalil) dan Azza Elite (Atie).

Kamal Adli, Azza, Shuhaimi Lua

Artikel Lain