suria

Hampir 4 tahun beroperasi, butik Yuna akhirnya gulung tikar

Yuna

PENYANYI Yuna terpaksa menutup butik pakaiannya iaitu November Culture yang beroperasi hampir empat tahun di Subang Jaya, Selangor.

Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Zarai, 31,  memberitahu, faktor kewangan merupakan punca utama dia gagal meneruskan perniagaan berkenaan.

"Sudah tentu sangat sedih untuk mengumumkan saya terpaksa menutup November Culture (NC), saya sayangkan perniagaan itu sepenuh hati saya.

"Sudah tiba masanya untuk mengucapkan selamat tinggal, kerana keadaan tidak dapat dijangka dan saya tidak mempunyai kewangan yang cukup untuk meneruskan bisnes itu," ujarnya.


Yuna mengumumkan berita itu di IG pada Khamis.

Yuna mengumumkan perkara itu di laman sosial Instagramnya pada Khamis.

Penyanyi lagu Dan Sebenarnya itu mengakui sedar bahawa dia perlu menukar strategi perniagaannya mengikut apa yang boleh dijual dengan capat bagi menyelamatkan kedainya itu.

Bagaimanapun, dia tidak mahu melakukan perkara itu.

Dalam pada itu, Yuna berkata, dia berbangga kerana kedai tersebut tidak bergantung kepada mana-mana pihak sepanjang enam tahun beroperasi.



"Saya bangga NC adalah kedai yang bebas sepenuhnya, tidak ada pelabur, tidak ada penyokong, tidak ada yang memberitahu saya apa yang hendak dijual atau dilakukan untuk menjadikan barang itu laku, hanya saya dan beberapa orang yang melakukan apa yang kita suka, kita juga mendapat pengikut yang besar di seluruh dunia!" ujarnya.

Di kesempatan itu juga, penyanyi yang kini menetap di Amerika Syarikat itu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantunya sepanjang menjalankan operasi kedai tersebut.

"Terima kasih semua untuk sokongan anda, jurugambar, kakitangan, pelanggan. Terima kasih kerana memberi saya peluang untuk melakukan ini Saya tidak berputus asa, saya baru memulakan babak baru dalam hidup saya," ujarnya.

Yuna

Artikel Lain