suria

Gelagat selebriti tempatan keluar mengundi

Marsha dan Nelydia Senrose antara selebriti yang keluar mengundi.


GOLONGAN selebriti tempatan dilihat tidak ketinggalan untuk melunaskan tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia bagi membuang undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Rabu.

Hasil pemeriksaan di laman sosial Instagram selebriti tempatan, ramai di antara mereka yang mengambil kesempatan cuti umum untuk pulang ke kampung halaman masing-masing untuk mengundi.

Pelakon dan pengarah Sheila Rusly menerusi InstaStory berkongsi sejak awal pagi dia sudah beratur di Sekolah Kebangsaan Taman Selasih Gombak untuk membuang undi.

Sheila Rusly menunjukkan jarinya selepas selesai membuang undi.

Ini kerana dia perlu bergegas ke Ipoh, Perak menemani suaminya, Azman Yahya atau Jinggo untuk mengundi di Kuala Pari, Ipoh.

Sementara itu berlainan pula dengan pasangan Zahiril Adzim dan isteri, Shera Aiyob yang mengundi secara berasingan.

Beritahu Zahiril, isterinya pulang ke Ipoh untuk mengundi manakala dia di Kuala Lumpur.

Noraniza Idris ditemani anak lelakinya ketika keluar mengundi.

Penyampai radio, Radin juga pulang ke Ipoh untuk membuang undi di Taman Meru, Ipoh.

Radin juga dilihat sempat beramah mesra dengan penduduk kawasan tempat tinggalnya selain bergambar dengan peminat selepas selesai mengundi.

Manakala penyanyi Dafi menjalankan tanggungjawabnya di Bera, Pahang tempat bapanya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bertanding.

Radin mengundi di Taman Meru, Ipoh. 

Dafi tanpa berselindung memberitahu pengikutnya undinya bukan sesuatu rahsia dan memilih biru yang merujuk kepada Barisan Nasional (BN) yang diwakili bapanya.

"Yang penting jangan lupa untuk saling menghormati antara satu sama lain dan Jangan jadikan perbezaan dalam memilih sesama kita penyebab untuk kita berbalah dan mengecam sesama sendiri.

"Pada akhirnya, kita tetap 1 Malaysia," tulisnya.

Altimet pun sudah mengundi!

Penyanyi Hafiz Hamidun turut tidak ketinggalan melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia dengan mengundi di Kota Damansara di sini.

Hafiz atau Mohammad Hafiz Hamidun, 34, berkata dia tidak kisah menunggu dalam keadaan panas demi kepentingan negara.

"Panas menunggu tak apa, yang penting untuk negara! I Love Malaysia," tulis Hafiz di Instagram.

Dafi mengundi di Bera, Pahang.

Manakala penyanyi rock terkenal Amy Search memilih untuk menunggang motorsikal jenis Vespa untuk pergi mengundi di Bukit Indah, Ampang.

"Hari ini nak pergi ke pusat mengundi Bukit Indah, Ampang. Kita naik motor sahaja. Jumpa anda di sana," ujarnya.

Dalam pada itu, pelakon Azhan Rani juga memuat naik foto selepas mengundi bersama ibunya di Kuala Kubu Bharu.

Hans Isaac.

"Kuasa di hujung jari. Tunggu keputusan saja malam ini. Keputusan mengejut ke keputusan dijangka, tunggu saja. Yang tengah beratur tu bertabahlah.

"Kuatkan semangat. Kalau kena 50 minit beratur pun ok lagi daripada kau nak menunggu lima tahun lagi.

"Boleh mengundi pergilah mengundi!" katanya.

PRU14

Artikel Lain